Bengkel kereta dikena tindakan gagal kemuka sebut harga

MANJUNG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, telah mengambil tindakan ke atas bengkel baik pulih kenderaan di Ayer Tawar selepas didapati gagal mengemukakan senarai sebut harga sebelum melakukan pembaikan.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, Tindakan diambil selepas menerima aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan selepas kenderaan mereka selesai dibaiki.

Menurut beliau, pengadu telah membuat laporan kepada pihak KPDN dan sepasukan pegawai serta anggota Penguat Kuasa KPDN telah diarah melakukan siasatan berdasar laporan yang diterima.

“Hasil siasatan yang dilakukan di bengkel terbabit mendapati pemilik bengkel gagal untuk mengemukakan maklumat berkenaan dengan perkhidmatan pembaikan kepada pengadu @ sebut harga sebelum melakukan apa-apa pembaikan ke atas kenderaan apabila diminta.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perenggan Enam Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) Pindaan 2002, Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu gagal memberi suatu pernyataan bertulis kepada pengguna sebelum dan selepas perkhidmatan pembaikan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, jika sabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM 100,000.00 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya didenda tidak melebihi RM200,000.

“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya didenda tidak melebihi RM100,000.

“KPDN memandang serius kepada peniaga yang tidak beretika dalam menjalankan perniagaan bagi memastikan hak-hak pengguna terpelihara di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

Kamalludin turut menyeru orang ramai supaya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat-maklumat berhubung pembaikan kenderaan di bengkel yang mengelirukan.

Katanya, masyarakat boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana Cawangan KPDN berdekatan untuk bersama-sama membanteras aktiviti ini daripada terus berlaku. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak sita biskut guna logo halal tidak sah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI