TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak membongkar kegiatan penyimpanan diesel tanpa permit sah di sebuah bengkel di Simpang, di sini awal pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kegiatan dikesan menerusi Ops Tiris 2025 melibatkan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak menerusi hasil risikan serta pemantauan selama seminggu terhadap kegiatan penyelewengan barang kawalan di kawasan itu.
Menurutnya, operasi sekitar jam 1.20 pagi itu telah berjaya merampas 36,000 liter diesel, dua buah lori, sebuah tangki skid, 22 tangki simpanan pukal (IBC) dan pam dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM292,840.
“Sindiket terbabit dipercayai mendapatkan minyak diesel daripada bot nelayan dan pemandu lori yang tidak amanah, yang mencuri bahan bakar itu daripada syarikat tempat mereka bekerja.
“Minyak tersebut dibeli pada harga sekitar RM2.15 seliter sebelum dijual kepada pihak industri di pasaran gelap dengan harga kira-kira RM2.45 seliter.
“Ketika pemeriksaan, pasukan penguat kuasa menemui minyak diesel yang disimpan dalam tangki-tangki IBC dan sebuah tangki skid.
“Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal Bekalan,“ katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran sah. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN rampas diesel, dua lori bernilai hampir RM150,000