Berhati-hati hasilkan imej Jalur Gemilang guna AI – Fahmi

IPOH – Semua pihak diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika menjana sebarang bentuk imej atau video bendera Jalur Gemilang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, saranan itu sebagai usaha untuk mengelakkan berlakunya kesilapan yang boleh mencemarkan simbol kebanggaan negara, khususnya pada sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.

Katanya, masyarakat perlu memastikan setiap ciri-ciri pada bendera Jalur Gemilang yang dihasilkan, khususnya menerusi AI mematuhi reka bentuk rasmi seperti yang ditetapkan.

“Kita juga galakkan agar rakyat dapat mengambil sedikit masa untuk mendapat maklumat rasmi tentang tatacara mengibar Jalur Gemilang yang betul.”

“Dan juga rakyat dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati menjana kandungan menggunakan kecerdasan buatan ataupun AI supaya tidak ada kesilapan ataupun kekurangan 14 jalur pada Jalur Gemilang, dan perkara ini sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada sidang media Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Ipoh, pada Ahad.

Majlis berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI) serta Majlis Media Malaysia (MMM) bagi memastikan agensi media turut memainkan peranan menghasilkan kandungan berkaitan Jalur Gemilang secara tepat sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.

Mengulas tindakan terhadap pihak yang menghasilkan kandungan AI memaparkan bendera Jalur Gemilang secara tidak tepat, Fahmi berkata, pendekatan awal kementerian adalah memberi nasihat sebelum mempertimbangkan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kita akan cuba berhubung dengan mana-mana pihak yang sekiranya mereka telah tersalah menghasilkan kandungan ataupun tersalah mengibarkan Jalur Gemilang untuk menasihati mereka supaya memperbetulkan.”

“Jika tidak dibetulkan atas apa-apa sebab, kemudian kita akan teliti apa tindakan susulan yang wajar diambil. Walau bagaimanapun, dalam soal ini kita mulakan dengan menasihatkan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau menggalakkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat agar mula mengibarkan bendera Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan dan bangunan kerajaan bermula sekarang sehingga sekurang-kurangnya 16 September bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Menurut Fahmi, selain Program Kibar Jalur Gemilang, kementerian turut menganjurkan siri program jelajah dengan pelbagai pengisian, manakala maklumat mengenainya akan dihimpunkan menerusi laman sesawang ‘Merdeka 360’.

“Saya harap acara ini akan menjadi bukan hanya sebagai pembuka tirai tetapi benar-benar membakar semangat, menaikkan semangat patriotisme dan membantu kita mengimbau sejarah sama ada kemerdekaan negara kita serta pembentukan Malaysia.”

“Ia juga diharap dapat memberi makna terutama kepada generasi baharu tentang peranan yang perlu kita mainkan sebagai warganegara untuk sentiasa menjaga kedaulatan, mempertahankan perpaduan dan menjamin masa depan negara kita,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Hormati Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan negara – PM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI