TELUK INTAN – Tak lapuk di hujan, tak lekang di panas. Meskipun zaman berganti zaman, masyarakat Rao atau Rawa yang menetap di Gopeng masih mempertahankan tradisi adat jejak tanah atau sinonim dengan nama adat berjojak sehingga kini.
Adat yang menjadi identiti ke atas etnik dalam rumpun Melayu itu disifatkan sebagai unik tatkala bukan semua yang berketurunan Rawa mengamalkannya.
Penyelaras Persatuan Homestay Gopeng, Noradidah Mokhtar, 59, berkata, masyarakat Rawa percaya sekiranya kanak-kanak daripada susur galur keturunan tertentu tidak berjojak, maka perkara buruk akan menimpanya pada masa hadapan.
Menurutnya, ia termasuk akan mengalami sakit-sakit seperti sakit perut, serta akan menjadi seperti kanak-kanak yang lambat belajar.
“Ada pelbagai versi cerita berkenaan adat berjojak ini. Antara kisahnya adalah, pernah berlaku satu masa dahulu situasi kemarau menimpa di Rao, Sumatera Barat, Indonesia.
“Dan ia mengakibatkan ramai rakyat membuat keputusan untuk berhijrah ke kawasan lain bagi mendapat bekalan makanan. Seorang raja ketika itu bertitah bahawa rakyat yang kekal dalam negara, adalah rakyatnya.
“Maka dipercayai, keturunan masyarakat Rawa yang tinggal di negara itu dipercayai perlu mengamalkan adat berjojak, dan yang lain tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunjukkan demonstrasi adat berjojak pada Temasya Budaya @ Negeri Perak, di Dataran Menara Condong, dekat sini, pada Jumaat.
Demonstrasi itu berlangsung kira-kira satu jam dengan seorang kanak-kanak perempuan dipakaikan baju kurung berwarna kuning dan ia dijalankan dengan kelolaan seorang tukang jojak, Shahrul Bariah Abd Aziz, 72.
Difahamkan antara signifikan lain adat berkenaan adalah untuk menghindarkan kanak-kanak daripada mengalami alahan kepada tanah selain sebagai lambang seorang kanak-kanak itu bakal memulakan langkah dalam kehidupan.
Mengulas lanjut, Noradidah yang berdarah Rawa memberitahu, bayi atau kanak-kanak yang akan menjalani adat berjojak tidak dibenarkan memijak tanah sehingga genap umur setahun.
Jelas beliau, antara persiapan yang perlu dibuat bagi adat berkenaan adalah menyediakan kain dan pakaian berwarna kuning, gong, lima hingga tujuh jenis bunga dan bahan-bahan tertentu.
“Antara bahan yang diperlukan dalam berjojak adalah daun gelenggang, beras kuning dan putih, bertih terdiri daripada tiga warna iaitu kuning, putih dan hitam.
“Juga disediakan, ibu kunyit, tanah liat serta tepak sirih yang mempunyai isi di dalamnya iaitu sirih, pinang, kapur, gambir, tembakau dan bunga cengkih,” katanya lagi.
Tambah Noradidah, tukang jojak akan membaca doa sambil mencalit kunyit kepada bahagian badan dan sendi kanak-kanak sebelum bertih, beras dan bunga ditabur di atas hamparan kain.
Kata beliau, tujang jojak itu kemudian akan memimpin kanak-kanak untuk bertatih di atas hamparan kain itu secara berulang-alik sebanyak tiga kali, serta dipasangkan lilin dengan diiringi paluan gong dan letupan mercun sepanjang acara berlangsung.
“Selepas selesai, kanak-kanak berkenaan akan dimandikan dengan air limau nipis yang dicampurkan dengan sedikit tanah. Dia kemudian akan diberikan makanan iaitu nasi bersama ayam masak lemak.
“Di samping itu, orang ramai yang hadir menyaksikan adat itu berlangsung akan diberikan makanan beras goreng yang dicampur dengan kuah manisan gula,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Noradidah yang juga Pengerusi Persatuan Homestay Perak berkata, sudah menjadi tanggungjawab untuk beliau mempertahankan adat berjojak daripada ditelan zaman.
“Berjojak ini antara adat yang memang tidak boleh ditinggalkan. Saya sendiri kalau boleh hendak melihat budaya dan tradisi kita ini kekal selama-lamanya.
“Walaupun ada yang mengatakan upacara dan adat Melayu kita ini ada diselitkan bacaan jampi tertentu, namun semakin ke hadapan, kita telah mengolah agar ia tidak melampaui batas syariat agama,” ujarnya lagi. – MG Perak
VIDEO:
MGPerak: Berjojak Identiti Unik Masyarakat Rawa
Artikel Berkaitan:
320 pelajar ikuti Klinik Seni Budaya Tarian Dabus