BFM mampu bantu usahawan dari ‘zero to hero’

IPOH – Kerajaan Negeri Perak berkolaborasi bersama Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) memperkenalkan program Penguasaan Asas Perniagaan (BFM) untuk memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, ia turut melibatkan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) selaku agensi yang menyelaras program-program usahawan terbabit.

Menurutnya, program itu secara tidak langsung dapat mengenal pasti usahawan yang berpotensi untuk dibantu dari ‘zero to hero’.

“Sebenarnya program ini telah bermula sejak Julai tahun lalu melibatkan 203 usahawan yang terpilih di seluruh Perak.

“Kita akan membantu mereka yang nak membantu diri sendiri dan selepas membuat tapisan, akhirnya kita memilih 50 yang terbaik untuk kita gilap potensi serta mengenal pasti masalah dihadapi yang menyukarkan mereka untuk membangunkan produk masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis minum petang dan penyampaian sijil program BFM siri pertama 2023 di Casuarina @ Meru di sini, pada Ahad

Dalam pada itu, Salbiah berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa masalah yang dihadapi usahawan dalam membangunkan produk masing-masing.

“Kebanyakan masalah usahawan yang kita kenal pasti adalah dari segi kewangan, pemasaran, pengurusan, pembungkusan dan sebagainya.

“Kita hendak mengubah mereka daripada apa yang biasa dibuat, kalau mereka tidak betulkan asas, mereka tidak boleh pergi ke peringkat seterusnya.” Jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga mengadakan perbincangan bersama agensi yang berkaitan bagi memberikan peruntukan kepada usahawan yang layak untuk mendapatkan sijil halal.

“Di bawah portfolio saya, memang ada peruntukan untuk pembangunan usahawan. Jadi, saya akan cuba membantu usahawan yang benar-benar terpilih untuk mereka mendapatkan sijil halal iaitu seramai 10 orang,” katanya.

Menyentuh mengenai sama ada program tersebut akan diteruskan Salbiah berkata, ia akan diteruskan dengan memfokuskan kepada usahawan berbeza, mengikut zon-zon terpilih.

“Usahawan yang berminat boleh menghadirkan diri untuk siri akan datang semasa pemilihan bagi tahun ini, mungkin kita akan meramaikan lagi (jumlah usahawan),” ujarnya – MG Perak

Artikel Berkaitan:

STeP bantu 114,000 usahawan di Perak sehingga November 2023

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI