BN Perak sangkal dakwaan akan bertanding 18 kerusi DUN pada PRU16

IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak menyangkal dakwaan kononnya parti itu hanya menyasarkan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan diteruskan.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah kerusi yang akan ditandingi BN melebihi jumlah tersebut dan 18 kerusi DUN yang dimaksudkan adalah kawasan yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) tidak termasuk kerusi sedia ada disandang parti itu.

“Saya ada baca laporan berita sehari selepas itu dan terdapat salah faham atau salah ‘petik’ yang tulis BN akan bertanding sekurang-kurang 18 kerusi DUN. Itu tak betul.

“Itu bukan bermakna kami (BN) akan bertanding 18 kerusi kerana setakat ini kami sudah ada sembilan kerusi DUN (yang dimenangi pada PRU15).

“Jadi, mungkin jumlahnya lebih banyak lagi, tapi bergantung kepada perbincanganlah,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Padang Rengas sebelum ini, ketua bahagian tersebut, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengharapkan kesemua kerusi di dalam Parlimen Padang Rengas ditandingi oleh UMNO dan ia mampu direalisasikan.

Menurutnya, dalam ucapan pembukaan, Nazri meminta supaya kerusi Parlimen Padang Rengas, DUN Chenderoh dah Lubuk Merbau diberi peluang kepada BN untuk bertanding semula ini kerana BN tewas kepada PN pada PRU15 serta berada pada kedudukan kedua berbanding PH.

Menurutnya, DAP tidak bertanding di ketiga-tiga kerusi berkenaan, BN berpotensi untuk merampas semula kerusi berkenaan dan beberapa kerusi lain yang ada di Perak.

“Jadi respons kepada kepada tajuk itu, saya berucap di Sungai Siput, saya kata di Padang Rengas, kita boleh meletak kembali calon BN sebab tak mungkin DAP akan bertanding di situ. Sebab itu bukan kawasan DAP.  Itu kawasan Melayu. Jadi asasnya ada.

“Tetapi sekiranya BN bergabung dengan PN untuk menubuhkan kerajaan tentulah PN tidak akan menyerahkan kerusi tersebut kepada BN,” jelasnya.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan BN Perak menyasarkan bertanding di sekurang-kurangnya 18 kerusi di Perak pada PRU16 menerusi kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PRU16: Tidak timbul isu pertindihan kerusi BN-PH

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI