IPOH – Persepsi buruk yang dilemparkan pihak tertentu kononnya Perak dipimpin kerajaan tidak berkredibiliti dan kontang idea terbukti sekadar tohmahan dengan tujuan menggoncangkan kestabilan Kerajaan Perpaduan di negeri ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Khamis lalu genap dua tahun usia Kerajaan Perpaduan Perak sejak ditubuhkan pada 21 November 2022.
Menurut beliau, pelbagai usaha licik dibuat bagi menggoncang kestabilan kerajaan sejak ia mula ditubuhkan termasuklah naratif kerajaan yang dibina hanya mampu bertahan beberapa bulan kerana perbezaan ideologi.
“Kemudian sentimen kaum dan agama dimainkan bertali arus untuk menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat. Api permusuhan dinyalakan dengan harapan parti-parti dalam kerajaan berantakan sesama sendiri, dengan harapan kestabilan yang terbentuk akhirnya terlerai di tengah jalan.
“Tetapi itu tidak berlaku. Di sebalik segala tohmahan dan keraguan yang sengaja ditimbulkan, BN memimpin kestabilan dengan memelihara prinsip kebersamaan dan kesantunan dalam berkerajaan.
“Kita berjaya memadam segala keraguan dengan mencipta kejayaan demi kejayaan buat negeri dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika menyampaikan ucapan sempena Konvensyen Barisan Nasional Negeri Perak 2024, di Hotel Casuarina@Meru, di sini, pada Ahad.
Hadir sama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi MIC Perak, Tan Sri Dr. M. Ramasamy dan Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon.
Jelas Menteri Besar Perak itu, di sebalik persepsi buruk yang dilemparkan kononnya Perak dipimpin kerajaan yang tiada kredibiliti dan kontang idea, BN bersama komponen Kerajaan Perpaduan berjaya memakmurkan ekonomi.
Tambah beliau, ia dibuktikan dengan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi, jaringan pengangkutan yang semakin baik, malah mencipta kekayaan baharu melalui diversikasi ekonomi yang menyeluruh.
“Perak mencipta satu lagi sejarah penting apabila berjaya menggunakan sepenuhnya kepakaran tempatan untuk memisahkan unsur nadir bumi, teknologi yang lazimnya dikuasai negara China dan Australia, sekaligus membayangkan reputasi Perak sebagai hab baru industri mineral di rantau ini.
“Suatu ketika, Perak berada di jurang keruntuhan akibat bencana pandemik sehingga mencatatkan defisit mencecah RM78 juta, tetapi kita berjaya mengorak langkah demi langkah untuk kembali memulihkan kedudukan kewangan sehingga mampu merekodkan surplus mencecah RM62.4 juta iaitu yang tertinggi dalam sejarah,” katanya.
Saarani berkata, angka-angka yang disebutkannya itu bukan suatu cerita rekaan tetapi manifestasi kepada kerukunan sesebuah kerajaan yang menjamin kepada pelaksanaan polisi-polisi, kehidupan rakyat dan sebagai parti yang mengemudi kerajaan negeri.
“Tetapi perlu kita ingat bahawa kejayaan-kejayaan ini tidak datang dengan mudah dan meneruskan momentum kejayaan juga tidak mudah. Di hadapan kita sedang menanti cabaran-cabaran politik yang semakin rencam.
“Maka, saya mengajak kita semua untuk menjadikan konvensyen ini sebagai medan untuk kita bersatu hati mengatur strategi,” katanya.
Beliau berkata, Konvensyen BN 2024 menjadi satu langkah penting untuk membina kembali asas-asas perjuangan untuk mengukuhkan kembali nilai-nilai yang menjadi akar kepada kekuatan BN selama ini. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] BN terus pimpin kestabilan Perak bersama Kerajaan Perpaduan […]