IPOH – Khidmat anggota bomba terpaksa digunakan bagi memotong dua cincin yang tersekat pada jari tengah tangan kanan seorang lelaki yang dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital sekitar jam 4 petang.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh digerakkan bagi menjalankan khidmat khas memotong cincin yang tersangkut pada jari tengah tangan lelaki berusia 51 tahun itu.
“Ketua operasi melaksanakan penilaian situasi seterusnya mengarahkan anggota memotong cincin tersebut dengan menggunakan peralatan khas sehingga kedua-dua bentuk cincin yang terdapat pada jari tengah tangan kanan pesakit berjaya dipotong,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi terkawal pada jam 4.29 petang dan tamat sepenuhnya enam minit kemudian. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bomba ambil masa 15 minit potong cincin tersekat di kemaluan


