Buang sampah: MBI keluar kompaun RM498,750

IPOH – Sebanyak 1,214 kompaun bernilai RM498,750 dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terhadap kesalahan berkaitan kes pembuangan sampah sepanjang tahun 2023.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 245 kompaun bernilai RM117,095 telah dibayar.

Menurutnya, melalui operasi yang kerap dijalankan serta tindakan tegas daripada Unit Anti-Litter MBI, masalah pembuangan sampah haram di sekitar bandar raya ini dapat dikawal.

Tambahnya lagi, 90 peratus daripada 470 lokasi pembuangan sampah haram berjaya dibersihkan oleh MBI bagi tempoh dua tahun lalu.

“Pada tahun lalu, MBI turut menjalankan 49 aktiviti gotong-royong serta memasang 1,670 papan tanda ‘Dilarang Membuang Sampah’ di sekitar Ipoh serta lokasi-lokasi ‘hot spot’ pembuangan sampah haram sejak 2021 sehingga 31 Disember lalu.

“Selain itu, sebanyak 84,547 unit tong sudah diedarkan secara percuma kepada warga Ipoh menerusi Zon Ahli Majlis sejak program ini mula diperkenalkan pada tahun 2021.

“Pembinaan pusat pengumpulan sampah domestik di kawasan kampung turut menyumbang kepada pengurangan lokasi ‘hot spot’ sampah haram.

“Setakat ini sebanyak 13 pusat pengumpulan dibina dan kutipan sampah dijalankan setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

MBI keluar kompaun RM498,750
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata, MBI mula memperkenalkan perkhidmatan kutipan sampah kebun dan pukal secara percuma mulai tahun 2021.

“Sebanyak 17 lori terbuka dibeli untuk menjayakan perkhidmatan tersebut yang dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Katanya, MBI akan mengambil tindakan tegas ke atas pembuang sampah yang ingkar dengan mengeluarkan kompaun bernilai RM1,000 tanpa sebarang rayuan kepada mereka di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan.

“Tindakan segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab secara tidak langsung menggagalkan usaha MBI untuk memupuk budaya ‘Ipoh Bestari Sejahtera’ yang menjadi slogan MBI.

“Perbuatan ini perlu dihentikan segera supaya hasrat MBI untuk menjadikan Ipoh Bandaraya Terbersih di Malaysia serta Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik di Malaysia dapat dicapai,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MBI dalam usaha naik taraf Gerbang Malam – Sandrea

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI