Budak perempuan Orang Asli hilang ditemukan mati dalam paya

SUNGAI SIPUT – Seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemukan maut dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya dekat perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini, semalam.

Mayat Nuraina Humaira Rosli, murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu, dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan sekitar jam 4.20 petang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata, mayat mangsa ditemukan antara 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Operasi SAR dimulakan pagi semalam dalam radius sekitar dua kilometer menggunakan unit anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bantuan dari beberapa agensi serta penduduk setempat.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam yang turut mengikuti operasi pencarian sekitar 4.20 petang (semalam).

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat dengan bantuan pakar forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,“katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Kanak-kanak perempuan Orang Asli 10 tahun ditemukan mati dalam paya
Mayat kanak-kanak Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli, 10, ditemukan di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput selepas dilaporkan hilang sejak petang Jumaat, Foto Ihsan JAKOA Daerah Kuala Kangsar

Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat kehilangan mangsa diterima daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) kira-kira jam 1.20 pagi semalam selepas kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah sejak petang Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khaizam berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa  dikatakan menuju ke kedai seorang diri kira-kira jam 3 petang pada hari kehilangannya untuk membeli ayam sebelum kembali pulang ke rumah.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa pulang tangan kosong kerana kehabisan ayam di kedai, sebelum bapa saudara mangsa kemudiannya menyuruh mangsa menunggu seketika sementara mengajaknya untuk ke kedai lain.

“Bapa saudara kanak-kanak itu memintanya menunggu sekejap sementara dia menghabiskan kerja dalam pada mangsa sedang bermain buaian di kawasan itu, namun bila keluar dari rumah didapati mangsa sudah tiada di situ,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Budak perempuan dua tahun maut, pengasuh ditahan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI