PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju mengembalikan semula kelayakan asas BUDI95 kepada 300 liter sebulan bermula 1 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman itu ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Hari Kebangsaan 2026, di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata, lebih 500,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menikmati BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.
Menurutnya, keputusan itu antara enam ikhtiar segera kerajaan untuk rakyat yang diumumkan sempena Ambang Merdeka.
“Ini bermakna lebih 16 juta pengguna akan menikmati RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan penambahan 50 peratus peruntukan penyelenggaraan untuk semua jenis sekolah pada tahun depan, iaitu peningkatan daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.
Katanya, peruntukan berkenaan meliputi semua aliran pendidikan termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.
“Saya turut arahkan Kementerian Pendidikan untuk mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah dan meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana oleh sekolah,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga akan membuka Program AI untuk Rakyat kepada anak muda berusia 18 hingga 30 tahun.
Ujarnya, seramai 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI terkemuka secara percuma selama tiga bulan.
Perdana Menteri menambah, kerajaan turut menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam, termasuk pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik dan ketersambungan internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam.
Katanya lagi, ambang pengecualian e-invois dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, bermakna perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-invois. – MalaysiaGazette


