IPOH – Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal mempamerkan komitmen kerajaan dalam mengangkat budaya politik baharu dalam amalan demokrasi negara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, malah perkara itu selari dengan pendirian dan manifesto Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang konsisten sejak daripada siri Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 1999.
Katanya, amalan demokrasi itu juga penting dan sekiranya ia dilaksanakan, Malaysia merupakan antara negara terawal dalam sistem Westminster yang mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.

“Ini adalah satu praktis serta amalan politik yang baru, dan sudah tentu ia ada kelebihan dan kekurangan.
“Akan tetapi kita tidak harus menyekat daripada untuk meneroka pendekatan serta perubahan politik yang baru dalam sistem demokrasi di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Kembali Ke Sekolah di bawah inisiatif Sejahtera MADANI di Pasaraya Borong Sakan, Klebang, dekat sini, pada Rabu.
Program itu merupakan anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan kerjasama Pasaraya Borong Sakan Sdn. Bhd.
Dalam pada itu, beliau juga diminta untuk mengulas berkenaan kenyataan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang berpendirian bahawa cadangan berkenaan merugikan negara.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, cadangan itu seharusnya didukung semua pihak demi kepentingan negara.

“Jika ikut cakap Ahli Parlimen Machang, semua benda tak betul, dia seorang sahaja yang betul. Kita kena ambil daripada sudut pandang positif.
“Walaupun jawatan Perdana Menteri itu dihadkan, beliau masih boleh berkhidmat jauh lebih panjang atau ada peranan di tempat yang boleh difikirkan kelak.
“Perkara ini tertakluk kepada kebijaksanaan dan keupayaan kita untuk mengolah atau menyusun kepimpinan itu dengan pendekatan serta cara yang berbeza,” ujar beliau.
Pada Isnin media melaporkan, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.
Anwar dilaporkan berkata, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


