Cadangan tagal ikan di Kampar bakal tarik pelancong, perkasa konservasi

KAMPAR – Cadangan mewujudkan sistem tagal ikan di Kampar bukan sahaja berpotensi menjadi tarikan baharu pelancongan malah mampu merancakkan lagi usaha pemuliharaan ekosistem sungai di daerah ini.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, pihaknya menyambut baik hasrat yang diutarakan Pertubuhan Pemancing Layang Negeri Perak.

Beliau berkata, perbincangan lanjut bersama agensi terlibat seperti Jabatan Perikanan, Majlis Daerah Kampar dan Pejabat Daerah dan Tanah Kampar mengenai perkara berkenaan akan diadakan dalam masa terdekat.

“Saya difahamkan ada usaha dan hasrat dari persatuan yang kita akan bincangkan bersama Jabatan Perikanan, majlis dan pejabat daerah bagi memulakan usaha untuk mewujudkan satu tagal ikan di kawasan Kampar ini.

“kami sentiasa mengalu-alukan perkara sebegini dan kita akan berbincang lanjut mengenai destinasi di sungai mana dan saya rasa ini salah satu tarikan akan datang kepada daerah Kampar untuk kita menarik lebih banyak pelancong dan sekaligus merancakkan pelancongan di dalam negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas hadir merasmikan program Randuk For Lampam Volume 5, di Sahom Valley Resort, di sini, pada Sabtu.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi hadir program Randuk For Lampam Volume 5, di Sahom Valley Resort, Kampar. Foto SYAKIR YUSOF, 22 OGOS 2026.

Program Randuk For Lampam Volume 5 yang disertai kira-kira 150 peserta dari seluruh negara termasuk Singapura memberi peluang kepada peserta meranduk sungai sejauh kira-kira 15 kilometer bermula dari Kampung Jahang sehingga Kuala Dipang.

Mengulas lanjut, Mohd Azlan berkata, pihaknya melihat cadangan yang diutarakan itu bersesuaian dengan keadaan geografi Kampar yang mempunyai banyak aliran sungai, sekali gus membuka ruang untuk kawasan sungai tertentu dibangunkan sebagai lokasi konservasi dan aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi.

“Kita melihat daerah Kampar ini mempunyai banyak aliran sungai. Di Sahom sahaja kita ada berbelas atau puluhan sungai, jadi kita boleh lihat mungkin ini boleh kita jadikan salah satu tarikan terbaru.

“Sebelum ini mungkin ada tagal-tagal yang lain, tetapi mungkin ini boleh menjadi tarikan baharu kepada pengunjung untuk datang ke daerah Kampar,” katanya.

Tambahnya, Kampar sebelum ini lebih dikenali sebagai destinasi aktiviti arus deras atau ‘white water rafting’, namun potensi sungai di daerah itu boleh diperluaskan kepada aktiviti memancing dan pemuliharaan alam sekitar. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI