Ceroboh kawasan lombong NR-REE: 31 individu ditahan, termasuk empat Orang Asli

IPOH – Seramai 31 individu ditahan polis selepas didapati terlibat dengan kegiatan pencerobohan kawasan perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) Lantanida di tiga Hutan Simpan Kekal (HSK) di Hulu Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mereka yang ditahan terlibat dalam kegiatan perlombongan haram di bagi tempoh 2019 hingga 2023 di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hutan Simpan Kenderong dan Hutan Simpan Piah.

Menurutnya, 10 daripadanya 31 yang ditahan merupakan warga tempatan dengan empat masyarakat Orang Asli, makala baki 21 lagi individu adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Jelas beliau, penahanan itu dibuat susulan enam laporan yang diterima pihak polis bagi ia disiasat di bawah ) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

“Kerajaan negeri memberi perhatian yang serius terhadap kes kecurian perlombongan Lantanida menerusi aktiviti perlombongan haram di Hulu Perak.

“Ia mengakibatkan kerugian hampir RM2 juta kepada hasil kerajaan dan dilihat boleh mengganggu gugat kelestarian alam sekitar sekiranya tidak dibendung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) dan Cheah Pou Hian (PH-Jelapang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, pada Khamis.

Saarani (BN-Kota Tampan) memaklumkan, kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Membanteras Perlombongan Haram bagi memperkasa aktiviti kawalan dan pemantauan terhadap aktiviti perlombongan haram.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut meningkatkan rondaan serta pemantauan berkala di kawasan-kawasan titik panas aktiviti perlombongan.

Ujar Saarani, ia menggunakan kaedah pemantauan di lapangan, pemantauan udara, penderiaan jauh atau ‘remote sensing’, dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) atau dron yang dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Jabatan Perhutanan Negeri.

“Agensi-agensi seperti PTG, Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa bekerjasama antara satu sama lain.

“Kerjasama itu dari segi perkongsian maklumat dan dapatan mengenai aktiviti perlombongan haram dalam kawasan HSK di Perak untuk penyelarasan tindakan penguatkuasaan yang lebih efektif dan efisien,” katanya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Penduduk jadi mata dan telinga peneroka haram NR-REE – Exco

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI