Penduduk jadi mata dan telinga peneroka haram NR-REE – Exco

IPOH – Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Perak, Teh Kok Lim mendedahkan terdapat penduduk setempat yang menjadi ‘mata dan telinga’ kepada peneroka haram membabitkan isu perlombongan haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong itu berkata, tindakan berkenaan menyukarkan pegawai penguat kuasa dalam menanggani isu berkenaan.

“Taktik ini dikesan digunakan sekiranya terdapat pegawai penguat kuasa Jabatan Perhutanan menghampiri kawasan pencerobohan bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak.

“Kebiasaannya kawasan HSK yang diteroka berada agak jauh ke dalam hutan dan dengan kawasan yang sangat sunyi itu, peneroka haram boleh mengetahui kehadiran pegawai penguat kuasa,” katanya,

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Tambah beliau, lombong haram yang diusahakan adalah di bawah kanopi hutan selain tebangan pokok yang sangat minimal dan penggunaan bahan penyamaran (camouflage) memberi kesukaran pasukan penguat kuasa untuk mengesan aktiviti tersebut.

“Malah penggunaan alat komunikasi yang canggih menjadikan kumpulan peneroka haram yang duduk jauh di dalam hutan ini, boleh berkomunikasi dengan perisik di luar,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi menangani cabaran itu, Jabatan Perhutanan Negeri telah bekerjasama dengan polis menjalankan pelbagai kaedah risikan dan intipan seperti penyamaran, tinjauan udara dengan menggunakan helikopter, penderiaan jauh (remote sensing) dan dron.

Jelas beliau, risikan yang dijalankan selama tiga bulan itu mendatangkan hasil dengan tangkapan ke atas pekerja-pekerja yang disyaki menjalankan aktiviti lombong haram ini.

“Pada 8 Disember lepas, pasukan operasi ini membuat serbuan ke atas lokasi yang disyaki dan seramai 27 suspek terdiri daripada 18 pekerja asing iaitu warga China (15 orang) dan Myanmar (3) serta sembilan warga tempatan termasuk empat daripadanya orang asli ditahan di dalam kawasan HSK.

“Hasil semakan mendapati, semua suspek tidak mempunyai permit memasuki HSK dan tiada permit penggunaan bagi aktiviti mencari gali yang sah di kawasan itu dan siasatan lanjut dijalankan mendapati, lombong haram yang diterokai itu melibatkan keluasan lebih 20 hektar,” katanya.

Katanya lagi, Jabatan Mineral dan Galian (JMG) yang turut sama membantu di dalam operasi mengesahkan bahawa kerja-kerja pengeluaran mineral di kawasan tersebut masih belum lagi dijalankan.

“Sekitar kawasan teroka, semua peralatan dan jentera yang dijumpai di kawasan tersebut telah disita dan dirampas termasuk lubang-lubang boring yang telah digali seluas lebih kurang 1.47 hektar.

“Kes ini masih dalam siasatan dan pertuduhan akan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 32, 47, 81(1)(b) dan 81(1)(d) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313),” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: MB Perak Sahkan Kecurian NR REE Di Hulu Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI