Cuaca punca peningkatan 407.7 peratus demam denggi di Ipoh

IPOH – Kes demam denggi di sekitar Bandar Raya Ipoh merekodkan peningkatan sebanyak 407.7 peratus dalam tempoh setahun iaitu sehingga 20 Januari lalu atau Minggu Epidemiologi Ke-3.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sebanyak 330 kes demam denggi direkodkan berbanding 65 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, sebanyak masing-masing tiga lokaliti titik panas dan tiga lokaliti wabak tidak terkawal dikenal pasti sehingga Ahad.

“Tiga lokaliti titik panas adalah di Kampung Sri Kinta, Rumah Pangsa Sri Conolly dan Rumah Pangsa Taman Silibin. Manakala lokaliti wabak tidak terkawal adalah di Arena Perpaduan Jaya, Taman Lapangan Melodi serta Rumah Pangsa Panorama Lapangan Perdana.

“Sementara itu, sebanyak 25 lokasi di sekitar Ipoh dikenal pasti sebagai lokaliti wabak terkawal bagi tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penuh Bulanan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Rumaizi memaklumkan, peningkatan dan penurunan kes demam denggi di sekitar Ipoh berpunca daripada faktor cuaca panas atau kering dan hujan yang berselang seli secara berterusan.

“Ia menyebabkan pola densiti nyamuk Aedes berada dalam situasi risiko penyebaran kes denggi.

“Tambahan pula nyamuk dewasa yang infektif dan pembawa virus atau individu dijangkiti denggi terus wujud di sekitar bandar raya berdasarkan kejadian kes yang berterusan,” katanya.

Tambah beliau, aktiviti kebun tanpa kebenaran yang tidak diselenggara dan dibersihkan juga dikenal pasti sebagai lokasi pembiakan nyamuk Aedes, terutama pada musim hujan.

Menurut Rumaizi, ia juga disebabkan terdapat peralatan berkebun yang ditinggalkan seperti botol, plastik, bekas polisterin serta bekas simpanan air di kawasan kebun haram itu yang menyumbang kepada pembiakan nyamuk berkenaan.

“Sehingga 31 Disember tahun lalu, Jabatan Taman Dan Landskap MBI telah mengeluarkan sebanyak 33 Notis Pembersihan Kawasan dengan tindakan pembersihan meliputi 14 lokasi padang dan enam lokasi di dalam rizab jalanraya.

“Pembersihan 20 lokasi kebun haram ini melibatkan hampir 234 lori sisa kebun terutamanya bagi tujuh lokasi yang mempunyai kes wabak denggi yang tinggi,” katanya lagi. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kes denggi di Ipoh naik 265%, musim hujan berterusan antara faktor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI