Cuba bunuh anggota polis, penoreh getah dipenjara lapan tahun

KUALA KANGSAR – Seorang penoreh getah dihukum penjara lapan tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis, minggu lepas.

Hakim Rohaida Ishak, memerintahkan Mohamad Saidi Che Omar, 31, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu menjalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap dan lima bulan (tambahan) jika gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Saidi didakwa cuba membunuh Reymee Abdul Rahman, 38, dengan melibas sebilah kapak ke bahagian kepala dan lengan Reymee di kebun kelapa sawit Felda Bersia, Gerik, kira-kira 11.30 pagi, 17 Oktober lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera pada mana-mana orang maka pesalah itu hendaklah dipenjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada tarikh dan masa sama Reymee bersama rakan setugas pergi ke kebun kelapa sawit Felda Bersia dengan menaiki motosikal bagi melakukan tugas risikan dan mereka berselisih dengan Mohamad Saidi yang juga sedang menaiki motosikal.

Semasa berselisih, Reymee memperkenalkan diri sebagai anggota polis untuk menjalankan pemeriksaan, namun Mohamad Saidi bertindak memberhentikan motosikal dinaiki dan menyerang pengadu.

Mohamad Saidi turut memegang sebilah kapak di tangan kanan dan sebilah parang di tangan kiri, sebelum menyerang dan melibas kapak lalu terkena pada bahagian kepala dan lengan Reymee.

Bagi mempertahankan diri, Reymee melepaskan dua das tembakan ke arah Mohamad Saidi dan terkena lutut kaki kanan tertuduh sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

Setelah Mohamad Saidi berjaya ditangkap, Reymee dibantu oleh rakannya menjalankan pemeriksaan fizikal terhadap tertuduh dan menjumpai dadah jenis methamphetamine serta ganja di dalam poket seluar sebelah kiri hadapan.

Terdahulu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi yang mewakili Mohamad Saidi, merayu supaya tertuduh dikenakan hukuman penjara paling singkat.

Menurut Hennie Soraya, tertuduh hanya meraih pendapatan RM500 sebulan, berstatus duda, selain menanggung ibu, ayah, adik dan seorang anaknya yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Nor Azlan, memohon hukuman berat kerana perbuatan cubaan membunuh itu boleh menyebabkan kematian dan tidak boleh diterima sama sekali, selain hukuman berat wajar untuk dijadikan pengajaran kepada masyarakat.

– BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI