IPOH – Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) sedang meneliti kesemua bantahan awam terhadap kadar cukai taksiran selepas proses pendengaran awam selesai pada 28 Februari lalu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, penelitian dan perbincangan dengan pihak berkepentingan akan dijalankan sebelum keputusannya akan dikemukakan kepada kerajaan negeri selewat-lewatnya bulan depan.
“Perbincangan dan rundingan lanjut dengan persatuan-persatuan berkaitan akan diteruskan dalam bulan ini sebelum ia dapat diputuskan dan dibawa kepada kerajaan negeri.
“Kadar cukai yang diumumkan sebelum ini adalah kadar muktamad, namun terdapat proses tambahan untuk menetapkan had maksimum atau ‘capping’ bagi menentukan kadar akhir yang akan dikenakan kepada pemilik hartanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Datuk Bandar Ipoh Bersama Anak Yatim di Hotel M Roof, dekat sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman; Pengerusi dan Pengasas Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh, Datin Noraini Abdullah serta Pengetua Pertubuhan Kebajikan Cahaya Kasih Kinta, Norizan Razali.
Sebelum ini, pengumuman kadar baharu cukai taksiran oleh MBI telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada penduduk di sekitar Bandar Raya Ipoh.
Pada 15 Nov tahun lalu, Rumaizi dilaporkan berkata keputusan sama ada untuk mengekalkan atau menurunkan kadar cukai baharu yang dikenakan MBI bergantung kepada bantahan yang dibuat oleh warga Ipoh.
Kira-kira dua minggu kemudian MBI bersetuju untuk mengurangkan kadar baharu cukai taksiran iaitu lebih rendah berbanding cadangan sembilan peratus sebelum ini selepas perkara berkenaan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas.
Dalam perkembangan lain Rumaizi berkata, pihaknya sedang menyusun perancangan untuk memeriahkan lagi kawasan Kinta Riverwalk yang terletak di persisiran Sungai Kinta berhampiran Jalan Lim Bo Seng, dekat sini.
Kata beliau, ia susulan wujud dakwaan kawasan yang pernah mendapat julukan ‘i-City Ipoh’ itu kembali sepi sejak akhir-akhir ini.
“Kita telah mendapat kelulusan bagi memperoleh peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memperbanyakkan lagi program menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kita sedar akan perkara itu, akan tetapi kita akan mempertingkatkan produk sedia ada dan terus mempromosikan kawasan itu untuk tarikan pelancong,” katanya lagi.
Pada Januari 2022, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dilaporkan membelanjakan sebanyak RM3 juta pagi pembangunan semula kawasan di sekitar Kinta Riverwalk.
Projek itu dibahagikan kepada tiga lokasi iaitu bermula dari Jambatan Jalan Raja Musa Aziz sehingga Jambatan Jalan Lim Bo Seng sepanjang 1,600 meter. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MBI beri peluang penduduk kemuka bantahan kenaikan cukai taksiran