IPOH – Perak meneruskan Program Bantuan Makanan Percuma Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) bagi tahun keempat dengan peruntukan sebanyak RM3.42 juta yang memanfaatkan 27,432 pelajar di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dana tersebut meningkat sebanyak RM750,000 berbanding RM2.67 juta pada tahun lalu.
Menurutnya, program ini menyasarkan pelajar yang terdiri daripada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dan pelajar Kolej Vokasional di seluruh negeri Perak.
“Penambahan dana pada tahun ini menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri untuk terus menyokong meningkatkan prestasi akademik pelajar di negeri ini.
“Menerusi program tersebut pelajar yang menghadiri kelas tambahan dan sesi tuisyen akan menerima makanan tengah hari bernilai RM5 setiap hari.
“Ini bagi memastikan mereka lebih fokus dan bersemangat untuk hadir ke kelas tambahan, serta lebih bersedia menghadapi peperiksaan,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma Peperiksaan Awam Tuisyen Cikgu Saarani 2024, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Saarani berkata, sejak diperkenalkan, program ini terus menunjukkan kesan positif dalam pencapaian pelajar pada peperiksaan awam.
“Selain memberi impak positif kepada pencapaian akademik, program ini juga meringankan beban kewangan ibu bapa, menyediakan nutrisi yang diperlukan pelajar, dan memperkukuhkan kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Persatuan Ibu Bapa Kolej Vokasional (PIBKS) dalam menyokong kejayaan pelajar di negeri ini,” jelasnya.
Katanya, dana program tersebut disumbangkan oleh lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama, iaitu Lembaga Air Perak (LAP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), masing-masing RM1 juta, Perbadanan Menteri Besar (MBInc) (RM700,000), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) (RM500,000), dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sebanyak RM220,000.
“Dana terkumpul ini akan disalurkan melalui Pejabat Kewangan Negeri kepada Yayasan Perak, yang akan menyelaras agihan bantuan makanan ke sekolah-sekolah yang terlibat dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) dan dipantau oleh Pejabat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bantuan makanan Percuma TCS diteruskan, peruntuk RM2.67 juta