PEMINAT masakan kampung asli yang ingin menikmatinya dalam suasana tenang dikelilingi persekitaran hijau sambil ditemani bunyi unggas boleh merasai pengalaman itu di Dangau Mak Ani yang terletak di Kampung Chepor, Lenggong.
Dibuka pada tahun 2019, pondok tersebut telah menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara antaranya Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, Singapura, China dan Jepun.
Malah pelancong dari luar negara yang singgah ke dangau itu turut mengagumi keenakkan makanan kampung yang jarang ditemui pada zaman sekarang.
Dangau tersebut turut dikelilingi dengan tanaman seperti temu lawak, bunga telang, belalai gajah, pandan, misai kucing, pokok pisang dan pelbagai ulam-ulaman,
Pemiliknya, Noor Aini Othman atau lebih mesra disapa Mak Ani, 63, berkata, sejak dibuka kira-kira lima tahun lalu, dangau tersebut tidak putus-putus menerima kunjungan pelancong.
Ada juga yang datang bagi menjalani penggambaran di dangau berkenaan untuk disiarkan di stesen televisyen tempatan.
Dangau Mak Ani sedia makanan tradisional yang ‘rare’
Menurutnya, keistimewaan dangau ini adalah menu makanan kampung yang disediakan kepada pengunjung menggunakan bahan-bahan segar dari kawasan sekitar.
“Pelancong yang datang ke sini semua panggil Mak Ani. Jadi, Mak Ani akan sediakan beberapa jenis masakan kampung untuk disajikan kepada mereka.
“Antara makanan yang akan dihidangkan adalah paku rawan goreng campur dengan batang lambuk, masak lemak pucuk paku dengan telur itik, paku rawan goreng, pucuk paku rebus, sambal nyiur, sambal picit, batang lambuk, temu lawak dan yang paling wajib, ikan pekasam goreng.
“Menu yang disediakan tidak akan diubah. Tiada ayam atau daging,” katanya kepada MG Perak ketika ditemui baru-baru ini.
Naik taraf dangau
Memandangkan Lenggong telah mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan juga salah satu Lenggong Geopark, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengambil inisiatif membantu menaik taraf dangau tersebut pada tahun ini.
Noor Aini berkata, pada asalnya saiz dangau ini kecil dan selepas orang ramai mula mengenali tempat itu, Shamsul Nasarah tampil menyalurkan dana untuk menaik taraf pondok tersebut.
“Orang Asli yang menjalankan kerja-kerja naik taraf dangau dengan menggunakan pelbagai kayu hutan dan beratapkan rumbia serta dilengkapi tikar serta siap dalam tempoh kurang seminggu.
“Sekali datang lebih kurang 20 hingga 30 orang boleh di dalam dangau berkenaan,” jelasnya.
Jangan lupa buat tempahan
Dalam pada itu, Mak Ani meminta supaya sesiapa yang ingin datang ke dangau tersebut perlu membuat tempahan terlebih dahulu.
“Buat masa ini Mak Ani hanya mengenakan harga untuk satu talam hidangan sebanyak RM50. Bagaimanapun, harga makanan adalah mengikut kapasiti pengunjung yang hadir ke sini.
“Tempahan untuk ke dangau untuk tahun ini juga semakin penuh malah ada yang sudah membuat tempahan sejak dua ke tiga bulan lalu.
“Sesiapa yang nak datang ke dangau boleh menghubungi Nurul Fatimah di talian 019-410 5981 untuk buat tempahan,” ujarnya.
Layanan Mak Ani terbaik
Salah seorang pengunjung, Nur Haifa Man, 23, berkata, dia mengetahui berhubung kewujudan dangau tersebut menerusi rakan-rakan yang menjalankan projek berkumpulan bagi subjek Digital Audio and Video Production.
Pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Multimedia Interaktif Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu tertarik untuk ke lokasi tersebut kerana keunikan masakan kampung asli yang tidak pernah dicubanya sebelum ini.
“Pada mulanya saya tertarik untuk ke Perak kerana hendak makan durian di Batu Kurau dan kemudian datang ke Lenggong untuk mencuba sendiri masakan Mak Ani yang dikatakan sedap oleh rakan-rakan.
“Biasanya saya makan makanan kampung biasa sahaja tetapi apabila melihat lauk yang dihidangkan saya terkejut kerana kali pertama melihatnya.
“Jadi saya berharap dangau ini perlu ditularkan supaya masakan kampung yang disediakan di sini dapat diperkenalkan kepada generasi muda.
“Layanan Mak Ani juga terbaik dan mungkin akan datang semula ke sini bersama keluarga,“ katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.
Sementara itu, Pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Multimedia Interaktif UniKL, Siti Aisyah Hazwani Mohd Nor, 23, berkata, dia mengenali Dangau Mak Ani menerusi hantaran media sosial oleh pengunjung yang pernah singgah di situ.
“Saya memilih Lenggong untuk projek video pelancongan bagi memperkenalkan daerah tersebut. Pada masa sama, turut memasukkan Dangau Mak Ani dalam video tersebut.
“Di Kuala Lumpur banyak kafe tidak ada pondok seperti ini. Saya berharap lebih ramai yang akan mencontohi apa yang diusahakan Mak Ani dalam memperkenalkan masakan kampung yang semakin luput ditelan zaman,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Makanan warisan perlu dijaga supaya tidak luput ditelan zaman