BERBEKALKAN penukul, paku dan gergaji di awal penglibatan menghasilkan perabot menggunakan kayu pine, kini KERJAKAYUpallet memiliki kilang sendiri bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah.
Bagi pemilik Amareyka Enterprise, Amar Tasykin Mohd Basari, 36, minatnya yang muncul selepas mendirikan rumah tangga lapan tahun lalu kini menjadi punca rezeki bukan sahaja kepada keluarganya malah juga pekerja yang digajinya.
Anak kelahiran Kampung Kayan, Sitiawan itu berkata, sebelum membuka kilang perabot dia pernah bekerja sebagai pengembala kambing dan lembu selepas menamatkan pengajian dalam bidang juruukur bahan banggunan.
Katanya, dia kemudiannya ditawarkan bekerja di dalam bidang yang dipelajari sebelum mengambil keputusan berhenti dan mencari rezeki dengan bekerja di ladang kelapa sawit.
“Saya mula terlibat dengan penghasilan perabot pada 2016 selepas berkahwin dengan orang rumah dan menetap di Langkap di mana pada awalnya hanya sekadar mengisi masa lapang sahaja.
“Tapi siapa sangka darah ‘tukang’ yang ada dalam diri saya ini begitu kuat kerana arwah datuk memang tukang rumah, ayah juga pandai bertukang jadi sekarang saya mewarisinya,” katanya kepada MalaysiaGazette (MG) Perak.
Menceritakan detik bagaimana dia mula terlibat dengan perusahaan perabot, Amar Tasykin berkata, segalanya bermula apabila isterinya memilih untuk mengusahakan sebuah spa dan memintanya mereka dalaman kedai berkenaan.
Katanya, dengan menggunakan kayu pine yang dicari sendiri serta berbekalkan penukul, paku dan gergaji dia akhirnya berjaya menghasilkan beberapa perabot serta hiasan dalaman spa isterinya itu.
“Bila pelanggan spa isteri saya masuk mereka tertarik dengan perabot yang saya hasilkan dan bila sudah suka maka mereka tanya beli di mana? Lalu isteri dengan bangga jawab suami saya buat.
“Selepas itu mereka mula meminta saya agar menerima tempahan dan saya jawab InsyaAllah kita akan cuba dan dari situ mulalah dari satu tempahan kepada dua dan seterusnya semakin banyak,” katanya.
Berhenti kerja beri tumpuan sepenuhnya perniagaan perabot
Menurut Amar Tasykin, pada mulanya dia tidak terfikir penghasilan perabot menggunakan kayu pine yang dianggapnya sebagai hobi masa lapang itu bertukar menjadi serius sehingga dia memutuskan untuk berhenti kerja pada 2018.
Katanya, di awal perniagaan dia menyewa premis bangunan kedai bagi membolehkannya mengusahakan perniagaan KERJAKAYUpallet di Langkap, Teluk Intan.
“Tapi dalam setahun kemudian saya mengambil keputusan untuk berpindah ke ruang yang lebih besar memandangkan kami memerlukan ruang untuk menempatkan perabot-perabot yang sudah siap dihasilkan.
“Alhamdulillah selepas mencari ruang sesuai kami akhirnya berpindah ke kilang sekarang dan kini sudah lima tahun menetap di sini dan lebih banyak perabot dapat kami hasil serta tempatkan,” katanya.
Ditanya mengenai pelanggannya, dia berkata pembelinya datang daripada pelbagai negeri di mana mereka menempah perabot melalui aplikasi media sosial dan penghantaran akan dibuat secara terus ke kediaman atau premis perniagaan mereka.
“Kebanyakkan pelanggan saya adalah individu perseorangan yang banyak menempah meja makan berkerusi serta meja jepun bersila.
“Permintaan kedua-dua jenis perabot ini akan melonjak apabila tiba Ramadan dan Aidilfitri dan bulan-bulan biasa selalunya yang banyak menempah adalah kedai makan bagi perabot jenis meja makan, kerusi serta kaunter pembayaran,” katanya.
Amar Tasykin berkata, perabot yang dijual lebih kepada mengikut permintaan pelanggan di mana mereka memberi gambar rekaan bersama saiz yang diinginkan.
“Saya sebenarnya lebih kepada apa yang pelanggan mahu , jadi kebiasaannya kita akan buat perabot yang belum pernah kita buat.
“Mereka minta jadi kita cuba penuhi selagi mampu sepadan dengan perbincangan serta harganya,” katanya.
STeP bantu iklan serta salur maklumat pembiayaan
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapinya sepanjang bergelar usahawan perabot, beliau berkata, untuk mengekalkan perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan kos perbelanjaan sentiasa meningkat.
Ujarnya, bertukar daripada menyewa kedai kepada membuka kilang memerlukan kecekalan yang tinggi ekoran kos yang perlu ditampung juga bertambah terutamanya ketika jualan berkurangan.
“Bila orang tengok bangunan kilang tanggapan pertama mereka adalah ‘tauke’ sebab ada kilang tapi mereka tidak tahu apa yang kita hadapi dan lalui.
“Macam mana perjalanan untuk dapat tempat dan keadaan seperti sekarang bukan mudah tetapi Alhamdulillah dengan adanya bantuan-bantuan dari agensi dan jabatan kerajaan sedikit sebanyak meringankan beban saya,” katanya.
Beliau berkata, bantuan Kerajaan Negeri Perak di Bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) banyak membantu dia meneruskan perniagaan.
“Saya memperoleh bantuan dari STeP berupa geran untuk pengiklanan di mana mereka membimbing kami bagaimana menembusi pasaran melalui sosial media selain memanggil individu yang ada nama untuk buat ‘review’.
“Alhamdulillah bantuan STeP ini amat membantu di mana jumlah pelanggan bertambah, orang lebih mengenali serta yakin dengan produk KERJAKAYUpallet,” katanya.
Tambahnya, STeP juga membantu dengan menyalurkan maklumat dan membantu mendapatkan pembiayaan berbentuk pembiayaan daripada agensi.
Impi kedai perabot sendiri dan 2025 bawa sinar baharu
Amar Tasykin berkata, meskipun berhadapan dengan cabaran terutamanya selepas pandemik COVID-19 di mana orang ramai mengurangkan perbelanjaan kehendak mereka dia masih cekal meneruskan perniagaan.
“Masa pandemik pendapatan jualan kami masih baik kerana permintaan sentiasa ada tetapi selepas pandemik saya nampak pembeli lebih berjimat dengan mengutamakan keperluan daripada kehendak.
“Tetapi sekarang dalam dua tiga bulan ini saya lihat tempahan mula kembali seperti biasa dan saya harap ia berterusan,” katanya.
Amar Tasykin turut berkongsi cita-citanya untuk membuka sebuah kedai perabot yang menempatkan perabot buatannya bukan di kilang sahaja.
“InsyaAllah jika ada rezeki saya mahu ada kedai sendiri jadi pelanggan tidak perlu datang ke kilang lagi.
“Harapan saya juga agar KERJAKAYUpallet semakin kukuh di dalam industri pembuatan perabot meskipun berhadapan pelbagai dugaan serta cabaran.
“Ini kerana 2024 sudah hampir ke penghujungnya dan apa saya boleh katakan tahun ini agak pedih jadi harap 2025 ada sinar baharu,” katanya. -MG Perak
VIDEO:
MGPerak: Dari Pengembala, Peladang, Kini Usaha Kilang KERJAKAYUpallet
MGPerak: Dari Pengembala, Peladang, Kini Usaha Kilang KERJAKAYUpallet
Artikel Berkaitan:
Khairil Azhar dekatkan Kolej Komuniti Gerik dengan masyarakat