Dasar Perumahan Perak 2.0 pacu kesejahteraan rakyat

PENAMBAHBAIKAN Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0 yang bakal diperkenalkan kerajaan negeri dilihat sebagai langkah penting dalam menyantuni keperluan rakyat meliputi pelbagai golongan, termasuk warga emas dan belia.

Dasar itu hadir selepas beberapa pakar menggesa agar dasar perumahan sedia ada diteliti semula kerana wujud kelompongan terhadap cabaran semasa, terutama aspek kemampuan dan ketersediaan rumah mampu milik.

Dalam konteks tersebut, dasar berkenaan bukan sahaja diperkemas, malah menjadi sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang digagaskan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Di bawah pelan berkenaan, ia menetapkan bahawa pemilikan rumah sebagai salah satu keperluan rakyat yang wajib dipenuhi bagi mencapai kesejahteraan sosial negeri.

Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0 Rumah Perakku, rumah mampu milik Perak, dasar perumahan belia, dasar perumahan warga emas, Pelan Perak Sejahtera 2030, LPHP Perak
Skim Perumahan Perakku Taman Tualang Sekah. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 NOVEMBER 2023.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching, berkata, Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0 dirangka dengan lebih inklusif dan seiring dengan tuntutan semasa untuk dipatuhi pemain industri perumahan di negeri ini.

Menurutnya, dasar baharu itu memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu Availability atau Ketersediaan, Affordability (Kemampuan) dan Accessibility (Kebolehcapaian).

“Bagi teras ketersediaan, akan ditambah baik penetapan peratusan Rumah Perakku serta kawalan perancangan perumahan bagi sesuatu skim pembangunan.

“Ia dijangka sedikit sebanyak akan dapat membantu meningkatkan tawaran Rumah Mampu Milik untuk dimiliki untuk rakyat Negeri Perak.

Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0 Rumah Perakku, rumah mampu milik Perak, dasar perumahan belia, dasar perumahan warga emas, Pelan Perak Sejahtera 2030, LPHP Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meninjau rumah yang telah siap ketika hadir pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku di Taman Perakku Batu 14, Lekir, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 JULAI 2025.

“Kerajaan negeri melalui “Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) akan menambah baik spesifikasi Rumah Perakku supaya harga yang ditawarkan adalah setara dengan spesifikasi yang disediakan.

“Langkah ini bukan sahaja menjadikan rumah lebih mampu dimiliki oleh rakyat, malah turut memastikan pemaju berupaya melaksanakan pembinaan tanpa menanggung bebanan kos yang berlebihan,” katanya.

Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0 Rumah Perakku, rumah mampu milik Perak, dasar perumahan belia, dasar perumahan warga emas, Pelan Perak Sejahtera 2030, LPHP Perak
Rumah Perakku @ Parit Buntar. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 SEPTEMBER 2024.

Tambah beliau, sementara di bawah teras kebolehcapaian, pelbagai aspek kawalan dan pengurusan perumahan akan diberi penekanan.

Jelas beliau, ia seperti dalam soal pindah milik rumah kos rendah dan sederhana, kawalan pemilikan Rumah Perakku, serta tapisan ke atas permohonan program Skim Sewa Perak Sejahtera (SSPS) dan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Ujar Sandrea, penawaran dan pengiklanan bagi Rumah Perakku serta lot Kuota Bumiputera juga akan turut diperkukuh agar capaian maklumat kepada orang ramai lebih berintegriti.

Tumpuan kepada warga emas, belia memiliki kediaman

Seiring dengan peningkatan populasi warga emas di negeri ini, Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0 akan mengekalkan kuota lima peratus Rumah Perakku untuk golongan berusia selain menambah baik reka bentuk agar mesra huni.

Ujar Sandrea, penetapan itu juga ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan peluang memiliki rumah di Perak lebih menyeluruh untuk semua golongan termasuk warga emas.

Che Su Kamis, 58, serta anaknya Muhammad Iqbal Mat Sani, 26, melihat rumah mereka yang telah siap ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku di Taman Perakku Batu 14, Lekir, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 JULAI 2025.

“Kerajaan Negeri melalui LPHP dalam proses kerjasama bersama pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk menyediakan garis panduan spesifikasi Rumah Perakku I dan Rumah Perakku II melalui penyediaan pelan tipikal yang lebih inklusif dan mesra huni termasuk warga emas,” katanya.

Menurut Sandrea, melalui penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0, selain warga emas, golongan belia turut diberi perhatian terutama kepada mereka yang ingin memiliki kediaman pertama.

Jelas beliau, di bawah dasar berkenaan, penetapan tawaran lima peratus Rumah Perakku kepada golongan sasar termasuk golongan belia akan turut memberi peluang kepada golongan itu untuk memiliki Rumah Perakku bagi sesuatu skim perumahan.

Projek fasa 2 skim Perumahan Perakku Taman Tualang Sekah, Kampar. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 NOVEMBER 2023.

“LPHP akan berusaha menambah penawaran Rumah Perakku terutamanya bagi pemajuan perumahan di kawasan bandar melalui penetapan peratusan penyediaan Rumah Perakku oleh pemaju swasta.

“Penambahbaikan ini akan membantu membuka peluang kepada rakyat Perak terutamanya golongan belia untuk memiliki rumah pertama,” katanya.

Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0 Rumah Perakku, rumah mampu milik Perak, dasar perumahan belia, dasar perumahan warga emas, Pelan Perak Sejahtera 2030, LPHP Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyerahkan kunci rumah kepada pembeli Rumah Perakku, sebagai simbolik penyerahan rasmi kediaman baharu dalam projek perumahan mampu milik kerajaan negeri di Taman Tasik Ardea di Mukim Sungai Terap, Batu Gajah, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 MEI 2025.

Dasar Perumahan Negeri Perak 2.0 yang bakal diperkenalkan menjadi bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam merangka dasar berhubung soal perumahan rakyat yang lebih inklusif, sejajar dengan matlamat Pelan Perak Sejahtera 2030.

Jika pelaksanaanya berkesan, dasar itu dijangka berpotensi menjadi pemacu kepada kesejahteraan rakyat Perak dalam memastikan memastikan setiap lapisan masyarakat, sama ada belia, mahupun warga emas, mampu menikmati pemilikan rumah yang berkualiti. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Lihat semula Dasar Perumahan Negeri Perak 2018-2025 – Pakar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI