Lihat semula Dasar Perumahan Negeri Perak 2018-2025 – Pakar

IPOH – Peningkatan gaji dan upah yang minima mendorong pembeli di Perak menangguh pembelian dan mengurangkan pelaburan dalam sektor hartanah di negeri ini.

Bercakap kepada MG Perak, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, sektor pembuatan di Perak merupakan penyumbang kepada ekonomi negeri.

Beliau berkata, bagaimanapun pertumbuhan eksport yang perlahan mengherot rantaian industri perkilangan dan seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan upah isirumah dan individu.

“Rantaian industri perkilangan sangat besar kesan limpahan kepada ekonomi Perak, dengan kejutan dalam sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) seperti kejatuhan dalam jualan cip dan komponen semikonduktor, menyebabkan kejatuhan dalam output perkilangan.

“Gangguan dalam sektor pembuatan memberi kesan kepada pertumbuhan sektor lain seperti hartanah dan pembinaan, justeru itu beberapa lokasi utama seperti daerah Kinta menunjukkan statistik yang tinggi kepada unit rumah tidak terjual,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ramai beranggapan bahawa pasaran akan pulih dengan pantas semasa pasca Covid-19, namun sebaliknya ekonomi bertumbuh dengan perlahan dan kesannya dapat dilihat melalui pasaran hartanah.

Ujar beliau, selain daripada faktor ekonomi seperti pertumbuhan dalam pendapatan isi rumah, faktor sebelah-penawaran juga perlu diberi perhatian.

“Gelagat strategik pemaju dan integrasi antara pemaju perlu selari dengan hala tuju pertumbuhan ekonomi negeri dalam jangka masa panjang.

“Justeru, agensi perancang negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju memerlukan integrasi yang lebih sempurna untuk merancang dan membangunkan projek perumahan bertingkat selepas ini,” katanya.

Lihat semula Dasar Perumahan Perak 2018-2025 - Pakar
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah.

Lihat semula Dasar Perumahan Negeri Perak 2018-2025

Ridhuan Bos berkata, kajian perlu dilakukan oleh pihak pemaju yang ingin membina kediaman di Perak terutamanya di Ipoh bagi mendapatkan maklumat pasaran yang lebih sempurna.

Beliau yang turut terlibat dengan Dasar Perumahan Negeri Perak 2018-2025 berkata, ketika merangka dan menggubal dasar berkenaan, penekanan bagi pembinaan rumah yang berharga RM200,000 dan kebawah telah diberikan.

“Kita tiada halangan untuk pemaju membina rumah bertingkat tinggi (high-rise), namun kajian pasaran dan data raya perlu menyokong jualan dan padanan permintaan.

“Realitinya, bukan hanya negeri Perak sahaja yang berhadapan dengan unit tidak terjual, pola beberapa negeri juga menunjukkan keadaan yang hampir sama seperti Selangor dan Johor, jadi cadangan saya kita mungkin perlu melihat semula dasar perumahan berkenaan,” katanya.

Ujar beliau, pertumbuhan ekonomi, pelaburan yang berkembang serta dasar Kerajaan Negeri Perak yang membantu sangat kritikal untuk pemulihan dalam pasaran hartanah.

Katanya lagi, pemulihan dalam sektor pembuatan dan peningkatan dalam pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing berupaya merancakkan ekonomi negeri.

“Peluang pekerjaan yang wujud dan pertumbuhan dalam pendapatan isi rumah boleh memberi suntikan kepada peningkatan kuasa beli.

“Sentimen perniagaan akan meningkat dengan dasar kerajaan negeri yang membantu dasar perumahan sedia ada (Perakku) boleh disemak dan ditambahbaik,” katanya.

Tambah beliau lagi, kecekapan pemaju untuk membina projek perumahan yang mampu milik dan berasaskan kuasa beli tempatan boleh memperbaiki unit tidak terjual pada masa hadapan.

Disember lalu, media melaporkan lebih 2,300 unit kediaman yang tidak terjual di Perak merupakan majoriti rumah berharga RM200,000 ke atas.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), menunjukkan majoriti rumah yang tidak terjual di Perak pada 2022 merupakan kediaman jenis pangsapuri dan kondominium. – MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Majoriti rumah tidak terjual di Perak berharga RM200,000 ke atas

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI