Majoriti rumah tidak terjual di Perak berharga RM200,000 ke atas

IPOH – Lebih 2,300 unit kediaman yang tidak terjual di Perak merupakan majoriti rumah berharga RM200,000 ke atas, menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching.

Menurut Sandrea, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 2,312 unit rumah tidak terjual di Perak pada 2022 di mana kediaman jenis pangsapuri dan kondominium merekodkan unit tidak terjual tertinggi di negeri ini.

“Berdasarkan laporan NAPIC rumah jenis kondominium dan pangsapuri merupakan penyumbang tertinggi kepada unit tidak terjual pada 2022 iaitu sebanyak 1,203 unit atau bersamaan 52 peratus.

“Daerah Kinta merupakan daerah tertinggi di negeri ini yang merekodkan kediaman tidak terjual sebanyak 1,065 unit, diikuti Manjung (4,98 unit) dan Kampar (328 unit),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chaw Kam Foon (PH – Mengelembu) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, daerah yang mencatat jumlah terendah perumahan tidak terjual pula adalah di daerah Bagan Datuk sebanyak sembilan unit manakala daerah Perak Tengah dan Selama tidak merekodkan rumah tidak terjual.

Ujar beliau, data berkenaan jelas menunjukkan bahawa rumah yang tidak terjual di Perak merupakan rumah yang dijual dengan harga yang di luar kemampuan serta tidak memenuhi permintaan pembeli di dalam lokaliti projek tersebut.

“Berdasarkan data NAPIC ini, ia menunjukkan bahawa rakyat Perak lebih cenderung untuk membeli rumah di dalam kategori kos rendah iaitu harga di bawah RM100,000.

“Ini kerana data NAPIC menunjukkan bahawa tiada hartanah perumahan tidak terjual di dalam kategori harga di bawah RM100,000 di dalam Perak,” katanya.

Sandrea berkata bagi mengatasi masalah rumah tidak terjual di Perak, kerajaan negeri telah melaksanakan Dasar Perumahan Negeri Perak bagi pembangunan yang melibatkan keluasan tanah melebihi 20 ekar.

Katanya, pemaju diwajibkan untuk membina 40 peratus pembangunan rumah mampu milik yang merangkumi pembinaan Rumah Perakku I, Rumah Perakku II dan Rumah Perakku III.

“Baki sebanyak 60 peratus pula dibenarkan untuk pembinaan rumah harga terbuka oleh pemaju,namun mereka diseru agar lebih berhati- hati dalam menyusun strategi dan melaksanakan kajian pasaran dan permintaan berdasarkan lokaliti setempat sebelum
memulakan apa-apa projek.
“Ia bagi mengelakkan isu rumah yang dibangunkan tidak dapat terjual di masa hadapan terutamanya yang melibatkan jenis pembangunan dan harga,” katanya.

Beliau turut menambah, Kerajaan Negeri Perak turut memberi insentif-insentif kepada pemaju untuk menggalakkan pembangunan Rumah Perakku iaitu pengurangan caj pemajuan dan caj premium bagi tujuan pengeluaran hak milik Rumah Perakku I dan II. -MG Perak

Artikle Berkaitan:

Belanjawan Perak 2024: RM6 juta untuk Rumah Perakku Prihatin

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI