Belanjawan Perak 2024: RM6 juta untuk Rumah Perakku Prihatin

IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi pelaksanaan Program Rumah Perakku Prihatin menerusi Belanjawan Perak 2024.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif yang diselaraskan Yayasan Perak itu mencatatkan peningkatan sebanyak RM1 juta berbanding tahun lalu.

“Program ini menyediakan pinjaman perumahan tanpa faedah khusus kepada golongan B40 yang menetap dan bermastautin di Negeri Perak pada kadar siling RM100,000 bagi seunit rumah.

“Berdasarkan kepada kelulusan tahun 2021, 142 unit rumah yang telah siap dibina dan diserahkan kepada pemilik pada tahun ini. Manakala baki lima unit masih dalam proses pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan Perak 2024 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, pada Jumaat.

Tambah Saarani, inisiatif bantuan baik pulih dan bina baharu rumah secara percuma di bawah Program Sayangi Rumahku oleh Yayasan Perak diteruskan dengan siling peruntukan RM3.0 juta di bawah Akaun Amanah Kledang Mas.

Ujar beliau, sebanyak 100 projek yang merangkumi 74 projek baik pulih dan 26 projek bina baharu telah diluluskan melibatkan dana bernilai RM2.7 juta, sehingga 15 November lalu.

“Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) pula akan terus memainkan peranannya dalam menyelaras urusan agensi kerajaan dan swasta bagi menjayakan pembangunan perumahan dan hartanah secara efektif.

“LPHP juga akan terus menjalankan obligasi moral mewakili Kerajaan Negeri dalam menyediakan perumahan awam yang kondusif kepada golongan sasar bagi mencapai kehidupan sejahtera,” katanya lagi. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2024: Belia harap ada khabar gembira tentang rumah mampu milik

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI