IPOH – Dewan Belia Perak terus memperluas jaringan kepimpinan anak muda menerusi pelbagai program yang memberi pendedahan kepada pemimpin belia mengenai isu semasa serta cabaran yang dihadapi generasi muda.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Program Pemukiman Dewan Belia Perak yang sebelum ini menghimpunkan seramai 113 pemimpin muda daripada Dewan Belia dan persatuan belia melibatkan 10 negeri merupakan antara platform untuk memperluas jaringan kepimpinan golongan muda.
Menurutnya, pengalaman tersebut akan dibawa ke peringkat yang lebih luas menerusi Perak Sejahtera ASEAN Youth Conference yang dirancang berlangsung pada penghujung tahun ini.
“Lebih luas jaringan, lebih banyak pengalaman yang boleh kita pelajari, bagaimana anak muda di tempat lain berdepan isu pekerjaan, teknologi, keusahawanan, alam sekitar dan bagaimana mereka mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kedua Persidangan Dewan Belia Perak Sesi Kelima di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah.
Dalam pada itu, Saarani berkata, pengalaman yang diperoleh sepanjang berada dalam Dewan Belia turut disifatkan penting dalam membentuk generasi muda yang lebih matang dalam membuat pertimbangan, selain memahami kesan setiap keputusan terhadap masyarakat.
“Tidak semua yang berada di dalam Dewan ini akan memilih politik sebagai kerjaya selepas ini. Ada yang akan berada dalam pentadbiran, industri, perniagaan, pendidikan, teknologi atau kembali berkhidmat kepada masyarakat dengan cara masing-masing.
“Saya berharap apa jua laluan yang dipilih selepas ini, pengalaman dalam Dewan Belia Perak dapat membentuk individu yang lebih bersedia untuk mendengar, teliti sebelum membuat pertimbangan serta memahami bahawa setiap keputusan yang dibuat akhirnya memberi kesan kepada kehidupan orang lain,“ ujarnya.
Beliau turut mengingatkan anggota Dewan Belia supaya menggunakan baki tempoh amanah dengan sebaik-baiknya dalam memberi sumbangan kepada negeri dan masyarakat.
“Gunakanlah baki amanah ini sebaik-baiknya. Negeri Perak memerlukan generasi muda yang bukan sahaja mempunyai cita-cita untuk dirinya, tetapi turut mempunyai keinginan untuk melihat negeri dan masyarakatnya menjadi lebih baik,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dewan Belia Perak perlu aktif persiap anak muda rebut peluang pekerjaan


