IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, merampas minyak diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak bernilai lebih RM90,000.
Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata, rampasan dilakukan di sebuah kilang pemprosesan makanan di kawasan Perindustrian Menglembu di sini, pada Selasa atas kesalahan menyimpan barang kawalan itu tanpa permit.
Beliau berkata, rampasan itu dilakukan sewaktu sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak menjalankan Ops Tiris 3.0 di premis berkenaan sekitar jam 9 pagi.
Menurutnya, kejayaan operasi ini adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Perak selama dua minggu di sekitar Ipoh.
“Melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan kita mendapati minyak diesel yang dihantar menggunakan sebuah lori tangki pemborong ke premis tersebut tidak mempunyai kebenaran menyimpan barang kawalan oleh Pengawal Bekalan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas premis turut menemui beberapa barang kawalan lain seperti minyak masak dan LPG untuk operasi kilang.
“Hasil pemeriksaan menemukan cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 4,850 liter di dalam tangki lori dan di dalam sebuah tong drum, enam tong LPG 50 kilogram (kg) setiap satu di dalam premis serta 102 botol minyak masak (5 kg setiap satu) dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM92,735.50,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kamalludin berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.
“Pembekal barang kawalan yang terlibat juga akan disiasat di bawah Peraturan 9 (1) PPKB 1974 kerana menjual kepada pihak yang tidak mempunyai kebenaran Pengawal dan yang turut menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) PPKB 1974,” jelasnya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati premis berkenaan turut menjalankan aktiviti membungkus produk menggunakan alat timbang bagi menentukan berat produk mereka.
“Sewaktu pemeriksaan dijalankan terdapat dua alat timbang yang digunakan telah tamat tempoh tentusah.
“Sehubungan itu, satu lagi tindakan kes telah diambil di bawah Seksyen 14(6), Akta Timbang dan Sukat 1972, kerana disyaki menggunakan alat timbang untuk tujuan perdagangan yang tamat tempoh tentusahnya,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: