IPOH: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, menggesa kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menangani kenaikan harga santan yang mencecah RM20 sekilogram.
Yang Dipertua DPPM Perak, Amirudin Tajudin berkata, kenaikan berkenaan bukan sahaja menambah kos perniagaan malah juga memberi tekanan kepada para peniaga, khususnya mikro dan kecil.
“Kami menerima aduan daripada ahli-ahli dalam kategori mikro dan kecil, khususnya yang berniaga kuih-muih sempena Ramadan, mengatakan sangat terkesan dengan kenaikan harga santan.
“Malah berdasarkan maklumat yang diperolehi, harga santan yang dicampur sedikit air dijual pada harga sekitar RM15 sekilogram manakala santan yang tidak dicampur air dijual RM20 sekilogram,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Amirudin mencadangkan agar KPKM mengambil beberapa inisiatif membendung masalah ini semasa Ramadan dan Aidilfitri seperti menambah import kelapa dari negara jiran.
“Saya juga mahu mencadangkan agar KPKM juga meneroka sumber baharu kelapa yang dikatakan jauh lebih murah seperti India dan Sri Lanka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan harga kelapa import dari Indonesia yang meningkat sejak tahun lalu memaksa peniaga bertindak menaikkan harga santan sehingga mencecah RM20 sekilogram.
Tindakan drastik itu terpaksa dilakukan bagi mengelak kerugian walaupun terpaksa berhadapan penurunan jualan apabila semakin ramai pengguna tidak sanggup menggunakan santan segar sebaliknya beralih pada santan segera. -MG Perak