IPOH – Adegan kejar mengejar antara polis dan seorang suspek di Kilometer 215 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Taiping, menyebabkan dua anggota polis cedera dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu.
Difahamkan, kereta peronda polis bertindak mengejar suspek lebih 50 kilometer dari Plaza Tol Ipoh Utara melepasi ke Plaza Tol Changkat Jering di Taiping.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, susulan kejadian itu, polis kini giat memburu suspek yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux selepas berjaya melarikan diri.
“Polis kini dalam usaha mengesan suspek terbabit,” katanya pada Jumaat.
Terdahulu, dua anggota polis masing-masing berpangkat koperal dan lans koperal mengalami luka di kepala serta sakit di beberapa bahagian badan termasuk dada dan tengkuk selepas kereta peronda jenis Honda Civic 1.8 (SPANCO) dinaiki hilang kawalan.
Suspek terlibat dipercayai melempar satu objek besi sehingga mengakibatkan kenderaan yang dinaiki anggota berusia 29 dan 38 tahun itu terbabas dan berpusing sebelum melanggar penghadang jalan.
Sebelum insiden tersebut berlaku, anggota unit kereta peronda (MPV) terbabit menerima arahan daripada pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping supaya memberi bantuan kepada lima kereta peronda MPV dari IPD Ipoh untuk menahan kereta suspek.
Amaran melalui pembesar suara sebanyak tiga kali oleh kereta peronda polis terbabit supaya suspek memberhentikan kenderaan tidak dipedulikan.
Malah, suspek yang cuba meloloskan diri dalam insiden kejar mengejar itu kemudiannya melempar keluar objek besi sebelum mengenai bahagian bawah kenderaan polis berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mercedes rempuh Proton Saga punca kemalangan maut bapa, bayi 11 bulan – Polis
[…] Dua anggota MPV cedera, polis buru suspek lempar objek besi […]