Mercedes rempuh Proton Saga punca kemalangan maut bapa, bayi 11 bulan – Polis

IPOH – Sebuah kereta jenis Mercedes merempuh sebuah kereta Proton Saga dipercayai menjadi punca kepada nahas jalan raya yang mengakibatkan seorang bapa dan bayi perempuannya berusia 11 bulan maut di Jalan Kuala Kangsar berhampiran dengan Taman Klebang Restu, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan nahas tiga kereta itu pada jam 7.21 pagi.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kemalangan itu melibatkan kereta jenis, Proton Saga yang dipandu mangsa bersama anaknya, sebuah Mercedes dan Perodua Alza.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada Proton Saga yang keluar simpang untuk melintas jalan sebelum dirempuh sebuah Mercedes yang datang dari arah Sungai Siput menghala ke Ipoh.

“Kemalangan telah mengakibatkan Proton Saga tersebut terbabas sehingga merempuh sebuah lagi kereta jenis Perodua Alza yang berada di susur kiri jalan dari arah Jalan Klebang Restu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, pemandu Proton Saga yang berusia sekitar 20 an meninggal dunia di tempat kejadian sementara anak perempuan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dekat sini.

Tambah Yahaya, mangsa-mangsa lain dalam kemalangan sama disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujar beliau, kedua-dua mangsa maut telah dihantar ke Unit Forensik HPRB untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis Ipoh meminta saksi yang menyaksikan kemalangan ini supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Shahrul Rizwan Wan Ali di talian 013-6218531 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial kemalangan jalan raya melibatkan beberapa kenderaan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Klebang Restu sehingga mengorbankan seorang bapa dan bayi perempuan. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Bapa, bayi 11 bulan maut dalam kemalangan tiga kereta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI