Dua atlet SUKMA Perak digugurkan kerana masalah displin

PARIT – Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah mengesahkan dua atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Perak digugurkan daripada menyertai acara sukan dwi tahunan itu.

Khairudin bagaimanapun enggan mendedahkan identiti dua atlet berkenaan dan menegaskan keputusan itu adalah hak persatuan selepas perbincangan bersama pengurusan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.

“Benda (kes atlet digugurkan) itu memang wujud, namun saya tak nak cakap dia atlet dari acara sukan mana dan tindakan itu diambil oleh pihak persatuan kerana mendapati atlet berkenaan melanggari peraturan yang ditetapkan.

“Apabila tiada disiplin yang baik ia boleh mengganggu dan rosakkan perancangan, maka kita nak jaga hal itu dan tindakan yang diambil bertujuan sebagai pencegahan.

“Lebih baik kita mencegah lebih awal bagi mengelak ia merebak teruk dan akhirnya menjejaskan persiapan dan konsentrasi pasukan untuk SUKMA 2024,” katanya ketika diminta mengulas desas-desus bahawa dua atlet SUKMA Perak digugurkan akibat masalah displin.

Terdahulu Khairudin hadir merasmikan Program Klinik Sukan Woodball Perak di Kompleks Sukan Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini, pada Khamis.

Khairudin turut menambah, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan mana-mana atlet negeri yang didapati mempunyai masalah disiplin daripada menyertai SUKMA Edisi ke-21 yang dijadual berlangsung pada Ogos 2024 di Sarawak.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai persiapan pasukan Perak ke SUKMA Edisi ke-21, Khairudin berkata, Perak belum memutuskan bilangan acara yang akan disertai daripada keseluruhan 37 acara yang dijadual dipertandingkan nanti.

“Mac nanti kita putuskan sukan mana yang pergi, sukan mana yang tak pergi dan mereka (atlet dan persatuan sukan) kena akur kerana kita buat berdasarkan kepada laporan pencapaian dan analisis bagi setiap sukan.

“Ini kerana kita mahu pasukan Perak yang cukup bersedia dan mampu beri saingan hebat kepada semua negeri yang terlibat dan bukannya menghantar pasukan sekadar untuk menjadi pasukan belasahan,” katanya. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI