SUNGAI SIPUT – “Abang minta maaf mama, abang banyak salah dekat mama,” kata Norzalifa Mohd Yusof, 35, yang bermimpi bertemu dua anak lelakinya yang maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer (KM) 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, pagi semalam.
Dia berkata, kehadiran kedua anaknya Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan Ahmad Marikh Norazlan, 13, dalam mimpinya malam tadi seperti mereka masih ada bersama keluarga.
“Malam tadi saya bermimpi, adik datang cium, abang datang minta maaf. Kemudian, saya tersedar sekejap dan fikir balik betul ke anak-anak saya datang minta maaf dekat saya?
“Kemudian saya terasa seperti tangan dicuit, ditepuk-tepuk dan akhirnya saya tidak boleh tidur sampai pagi. Selepas itu, saya terus mengajak anak sulung perempuan untuk solat Subuh bersama,” katanya.
Ibu kepada empat anak itu berkata demikian kepada media selepas Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah hadir menziarahi keluarganya serta menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri di Kampung Salak Stesen, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Norzalifa berharap pelaku yang dipercayai menyebabkan kematian dua anak lelakinya bertanggungjawab di atas perbuatan tersebut.
“Saya memang tidak mahu tengok muka suspek kerana rasa geram. Bukan senang kami nak terima kehilangan dua anak sekali gus.
“Sedih macam mana pun, mereka pergi dalam bulan yang baik, Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan dan kami sekeluarga reda dengan pemergian mereka berdua,” jelasnya dalam keadaan sebak.
Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, dia berkata, suasananya muram tidak seperti tahun sebelumnya ketika kedua-dua anak lelakinya masih hidup.
Katanya, setiap tahun mereka sekeluarga akan mengenakan tema baju mengikut warna sama namun hasrat itu tidak kesampaian kerana dua beradik sudah dijemput Illahi.
“Kami tak tahulah nak cakap, mungkin tak sambut (Hari Raya Aidilfitri) cuma kawan-kawan datang menziarahi rumah sahaja,” ujarnya yang turut ditemani suami, Norazlan Tajuddin, 37.
Semalam, MG Perak melaporkan dua beradik maut apabila motosikal dinaiki mereka dilanggar lari sebuah pacuan empat roda di KM38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, dalam kejadian jam 7.10 pagi.
Jenazah dua beradik yang juga anak kedua dan bongsu daripada empat beradik itu disolatkan di Masjid Kariah Salak (U), Kampung Perik, di sini oleh kira-kira 200 jemaah selepas solat Jumaat sebelum selamat dikebumikan dalam satu liang kira-kira jam 3.20 petang semalam di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Perik, Enggor, di sini.
Sementara itu, kontraktor yang terlibat dalam insiden langgar lari itu ditahan reman mulai hari ini selama empat hari sehingga Selasa.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, perintah reman ke atas suspek berusia lingkungan 50-an itu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua beradik maut, pemandu pacuan empat roda melarikan diri
Dua beradik maut dalam perjalanan ke sekolah
[…] Dua beradik maut: “Abang minta maaf mama” […]