Dua beranak rentung: Ayah cuba selamatkan ibu dan kakak

GERIK – Saudin Mohamad tidak menyangka insiden kebakaran pondok di kebun Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda, dekat sini pada Isnin mengorbankan ibunya, Rahmah Zainon, 76, dan kakak Razilawati Mohamad, 43.

Saudin, 76, berkata, kejadian kebakaran itu diketahuinya selepas dimaklumkan oleh jiran-jiran dusun sekitar jam 4 pagi tadi.

Katanya, ketika itu dia dan beberapa ahli keluarga lain telah pulang ke rumah di Kuala Ketil, Baling, Kedah, selepas tiga hari bermalam di dusun milik mereka itu.

Anak kelapan dari sembilan beradik itu berkata, sebelum itu bapanya, Mohamad Abdul Latif, 84, yang ada bersama di Gerik menyedari kebakaran itu, cuba untuk menyelamatkan mereka dan memadamkan api, namun gagal.

“Ayah ada bagitau sebelum kejadian mungkin emak ada masak air menggunakan dapur gas dan cerek. Kemungkinan api kebakaran datang dari situ.

“Semasa kebakaran, ayah cuba untuk selamatkan emak akan tetapi ayah tak mampu. Adik pula yang cacat penglihatan juga tidak dapat keluar dari pondok itu.

“Adik memang rapat dengan mak dan ayah. Kemana-mana mereka pergi, pasti dia ikut sekali. Itu yang buat kami lagi sedih,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Gerik, pada Isnin.

dua beranak rentung ibu anak OKU rentung Gerik pondok dusun Gerik
Saudin Mohamad, 37, ketika ditemui wartawan di Unit Forensik Hospital Gerik susulan ibu dan kakaknya yang maut selepas terbabit dalam kebakaran pondok di dusun di Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda, Gerik, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 JANUARI 2024

Saudin berkata, sudah menjadi rutin buat keluarganya untuk datang ke dusun buah-buahan itu dalam dua kali dalam sebulan.

Namun ujarnya, beberapa hari sebelum bertolak dari Kedah pada Jumaat, ibunya ada memberitahu untuk membawa pakaian lebih kerana mahu tinggal lebih lama di Gerik.

“Saya musykil juga apabila mak kata dia hendak duduk lama di dusun itu. Malah, perkara sama turut diberitahu kepada jiran-jiran kami.

“Saya cuma anggap mungkin emak hendak mencari ketenangan di situ bersama ayah dan adik. Mungkin juga dia lebih seronok di situ berbanding di kampung.

“Sebab kebiasaannya memang kami kerap berulang ke dusun. Dan kami memang sudah merancang untuk kembali ke situ pada minggu ini,” katanya lagi.

Jenazah dua beranak itu dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Chempedak di Kuala Ketil, pada Isnin.

Terdahulu, media melaporkan ibu bersama seorang anak perempuan orang kurang upaya (OKU) penglihatan ditemukan rentung selepas terlibat dalam kebakaran pondok di kebun Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda, pagi tadi.

Difahamkan pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden itu. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ibu, anak OKU ditemukan rentung dalam kebakaran pondok kebun

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI