TANJUNG MALIM – Polis menahan dua lelaki selepas menemui 69 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat 690 kilogram (kg) dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 371 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Khalid Mohamad berkata, suspek yang berusia 31 dan 21 tahun itu ditahan sepasukan anggota Peronda Lebuhraya (EMPV) Sektor 7 dan 8, Zon Utara 4, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sekitar jam 2 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap MPV Toyota Alphard itu telah menemukan 69 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun-daun disyaki ketum dengan anggaran berat keseluruhan 690 kilogram dan menahan dua suspek terbabit bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan awal mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod berkaitan dadah dan lima rekod jenayah, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod dadah serta satu rekod jenayah.
“Kita percaya kedua-dua suspek berperanan sebagai penghantar (runner) bekalan daun ketum untuk pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah Toyota Alphard bersama satu unit kunci alat kawalan jauh kenderaan bagi tujuan siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lima lelaki ditahan dalam dua kes ketum di Kerian, Hilir Perak


