Dua lelaki ditahan bersama 5,000 liter diesel bersubsidi

MANJUNG – Dua lelaki warga tempatan ditahan bersama lebih 5,000 liter diesel bersubsidi dalam serbuan ke atas sebuah stor haram menerusi Ops Tiris, di Pantai Remis dekat sini, petang semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan sekitar jam 6 petang itu dijalankan KPDN Cawangan Manjung.

Menurutnya, kejayaan tersebut hasil risikan selama dua minggu ke atas sebuah lori tangki yang disyaki membuat pembelian minyak diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Pantai Remis, Beruas dan Taiping.

“Mereka dipercayai menggunakan lori tangki yang telah diubah suai dan hasil penjejakan lori tersebut, pasukan risikan berjaya menemui sebuah stor haram bagi aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi kepada pembeli lain.

“Ketika serbuan dilakukan, pekerja yang berada di stor haram ini sedang memindahkan cecair yang disyaki minyak diesel ke dalam dua buah lori tangki yang turut dipercayai akan dihantar kepada pembeli dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran bagi minyak diesel komersil atau kegunaan industri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas dua pekerja lelaki warga tempatan masing-masing berusia 48 dan 58 tahun ini gagal mengemukakan sebarang lesen CSA atau permit pengendalian barang kawalan.

“Dianggarkan 5,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel, sebuah lori tangki, peralatan mengepam dan beberapa dokumen telah disita serta kedua-dua pekerja telah ditahan untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM 261,850,” ujarnya.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI