IPOH – Dua wanita maut, selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan tayar di Jalan Simpang Pulai ke Kerawat dekat sini, pada Sabtu.
Turut dilaporkan seorang lelaki parah manakala dua kanak-kanak cedera dalam nahas melibatkan lima sekeluarga itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan daripada orang awam sekitar jam 11.39 pagi.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai serta dibantu BBP Gopeng bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Sewaktu tiba di lokasi kita mendapati kemalangan melibatkan Toyota Avanza dipercayai bertembung dengan lori satu tan sebelum terbabas ke dalam longkang di tepi jalan.
“Toyota Avanza yang dinaiki lima sekeluarga itu dipercayai dalam perjalanan menuju ke Cameron Highlands manakala lori satu tan membawa muatan tayar datang dari arah bertentangan.
“Terdapat dua mangsa wanita yang tersepit iaitu penumpang tempat duduk hadapan dan penumpang di bahagian sebelah kiri kenderaan berusia dalam lingkungan 14 tahun berjaya dikeluarkan.
“Kedua-dua mangsa itu disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pemandu Toyota Avanza iaitu lelaki berusia 65 tahun cedera parah manakala dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia sembilan dan empat tahun yang duduk di bahagian belakang kanan kenderaan sama turut cedera dalam kemalangan tersebut.
“Bagaimanapun, pemandu lori yang berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Sabarodzi berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.15 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan: