SELAMA – Polis menahan dua remaja bagi membantu siasatan berhubung penemuan bayi perempuan di sebuah pusat pengajian Islam di Rantau Panjang di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sarudin Samah berkata, pihaknya menahan seorang remaja lelaki berusia 17 dipercayai terlibat membuang bayi tersebut.
Menurutnya, seorang lagi suspek yang ditahan adalah remaja perempuan berusia 14 tahun yang sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sini.
“Semalam, kita menerima maklumat daripada pengadu berhubung penemuan bayi itu sekitar jam 7.38 pagi.
“Bayi yang dipercayai baharu dilahirkan itu dijumpai bersama uri dan tali pusat seterusnya telah dibawa ke Hospital Selama oleh pengadu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Seterusnya, pengadu telah membuat laporan kepada polis berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Dalam pada itu, Sarudin berkata, kedua-dua remaja yang ditahan masih bersekolah.
“Kita percaya kes tersebut selesai melalui penahanan kedua-dua suspek berkenaan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bayi lelaki ditemui di dalam beg di tepi longkang