Bayi lelaki ditemui di dalam beg di tepi longkang

MANJUNG – Seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di dalam beg di tepi longkang di belakang sebuah kedai di Ayer Tawar kira-kira jam 8 malam pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, bayi berkenaan ditemui oleh seorang lelaki sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Menurut Mohamed Nordin, pihaknya telah menerima panggilan pada jam 8.36 malam daripada salah seorang anggota Balai Polis Ayer Tawar yang memaklumkan telah menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.15 malam mengatakan bahawa dia menjumpai seorang bayi.

“Lelaki berusia 45 tahun itu memaklumkan telah menemui seorang bayi lelaki di dalam sebuah bag tang ditinggalkan di tepi longkang bekalang kedai di kawasan Ayer Tawar.

“Bayi berkenaan kemudiannya telah dihantar ke Hospital Seri Manjung dan berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk rawatan serta pemantauan lanjut oleh pihak hospital bersama Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh doktor mendapati tiada sebarang kecederaan luaran dan bayi berada dalam keadaan sihat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut Mohamed Nordin berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana ibu bapa yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak d bawah umur kurang daripada 12 tahun mendedahkan serta membuang dengan niat.

Ujar beliau, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Usaha mengesan suspek dan waris bayi lelaki tersebut kini sedang giat dijalan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 011-16240391,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Empat beradik ditinggalkan bapa bukan dihalau nenek

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI