Nenek halau empat cucu 11 tahun hingga 10 bulan dari rumah

PARIT – Seorang nenek tergamak menghalau empat cucu berusia 10 bulan hingga 11 tahun keluar dari kediamannya di Kampung Kuchai, Bota, pada Khamis.

Lebih parah ke semua empat cucunya ditinggalkan di hadapan Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah oleh seorang wanita tidak dikenali kira-kira jam 10.50 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, satu laporan polis telah dibuat Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada jam 5.39 petang Khamis memaklumkan terdapat empat beradik di bawah umur telah ditinggalkan di kompleks berkenaan.

Menurut Hafezul Helmi, kejadian dipercayai berlaku lebih kurang jam 10.50 pagi semasa pengadu sedang bertugas di pejabat JKM Kampung Gajah.

“Pengadu dimaklumkan oleh pengawal keselamatan yang mengatakan terdapat empat orang kanak-kanak telah ditinggalkan di hadapan pondok pengawal keselamatan oleh seorang perempuan tidak dikenali menaiki kereta jenis Toyota.

“Pengadu memaklumkan empat kanak-kanak tersebut terdiri daripada tiga lelaki berumur 11 dan tiga tahun serta seorang bayi 10 bulan bersama seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Hafezul Helmi berkata, hasil pertanyaan ke atas kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun memaklumkan bahawa mereka telah dihalau dari rumah oleh neneknya yang tinggal di Kampung Kuchai.

“Mereka kemudiannya dihantar ke Kompleks Pentadbiran Perak Tengah menaiki kereta oleh seorang perempuan yang tidak dikenali,” katanya.

Ujar beliau ke semua empat beradik berkenaan telah dihantar ke rumah perlindungan kanak-kanak di Gopeng bagi tindakan lanjut.

“Sehingga kini pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan ibu bapa atau waris kanak-kanak tersebut.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Perak Tengah, Inspektor Mohd Hanif Dzulkifli di talian 012-6477452,” katanya. -MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI