Dua penambahbaikan prosedur pemeriksaan kenderaan berkuat kuasa esok – JPJ

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengumumkan dua penambahbaikan utama terhadap prosedur pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) seperti Puspakom Sdn Bhd, berkuat kuasa esok.

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata langkah itu diambil bagi memperketat piawaian keselamatan kenderaan, di samping meningkatkan kecekapan sistem serta kualiti perkhidmatan kepada pengguna.

“Penambahbaikan itu adalah pemeriksaan ketebalan bunga tayar dan pemeriksaan kenderaan berat jenis dumper atau tipper,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan ketebalan bunga tayar adalah selaras dengan keperluan keselamatan semasa.

“JPJ menetapkan semua kenderaan perdagangan, iaitu barangan dan perkhidmatan awam mestilah mempunyai ketebalan bunga tayar sekurang-kurangnya 1.6mm pada keseluruhan permukaan tayar yang bersentuhan dengan jalan,” katanya

Aedy Fadly berkata sebelum ini JPJ telah menetapkan Puspakom untuk memeriksa sekurang-kurangnya 75 peratus daripada permukaan tayar yang diperiksa perlu mematuhi had minima berkenaan.

“Dengan penetapan baharu ini, mana-mana kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi ketetapan itu adalah tidak lulus terhadap pemeriksaan kenderaan,” tambahnya.

Beliau berkata JPJ juga telah bekerjasama dengan Puspakom untuk melaksanakan penguatkuasaan dengan memastikan kenderaan jenis dumper atau tipper tidak mempunyai pagar sisi (side board) melebihi spesifikasi yang ditetapkan.

Itu sebagaimana Syarat Permit yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Pelan Teknikal Kenderaan yang telah diluluskan.

Selain itu, beliau berkata bagi pemilik kenderaan dumper atau tipper yang mengangkut muatan khas juga perlu mengemukakan Surat Tawaran Kelulusan (STK) dan permit semasa menjalani pemeriksaan di Puspakom bagi memastikan jenis badan dan jenis muatan adalah selari dengan kelulusan yang diberikan.

“Langkah memperketat penguatkuasaan terhadap kenderaan berat jenis dumper atau tipper, selaras dengan pelaksanaan kod badan khas bagi kenderaan jenis dumper atau tipper yang mengangkut muatan khas seperti baja, batu arang, abu terbang, gipsum, habuk kayu, jagung, isirong sawit dan padi,” katanya.

Aedy Fadly berkata penguatkuasaan itu bertujuan mengelakkan sebarang penyalahgunaan spesifikasi kenderaan, di samping menjamin aspek keselamatan serta pematuhan terhadap syarat pengendalian muatan khas di jalan raya.

Beliau berkata pemilik kenderaan mempunyai dua pilihan jika kenderaan telah gagal pemeriksaan di Puspakom, iaitu merujuk kepada APAD bagi pembetulan semula permit dan pengeluaran permit baharu mengikut muatan asal yang ditetapkan di dalam pelan teknikal serta membuat permohonan pelan baharu kepada JPJ mengikut kod badan yang muatan yang dibawa.

Pemilik juga perlu membuat pengubahsuaian kembali tinggi pagar sisi kepada 762mm dan tiada perubahan pada kod badan dumper atau tipper sedia ada sebelum menjalani pemeriksaan di Puspakom semula.

Penambahbaikan itu akan meningkatkan tahap keselamatan kenderaan di jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan kepatuhan terhadap peraturan yang telah ditetapkan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI