Dua rakan didakwa tipu kedai pajak guna emas palsu

BATU GAJAH – Dua rakan yang didakwa terlibat dalam sindiket pajak emas palsu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah pada Khamis, atas pertuduhan menipu pekerja kedai pajak dengan menggadaikan barang kemas palsu, bulan lalu.

Tertuduh, Mu Vui Yen, 38, mengaku bersalah, sementara rakannya, Ng Yung Cheng, 26, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd. Yussof.

Mengikut pertuduhan, Vui Yen yang merupakan pekerja e-panggilan  didakwa menipu pekerja kedai pajak dengan mengemukakan seutas rantai tangan seberat 30.4 gram yang bukan emas tulen bagi tujuan mendapatkan wang pajakan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai pajak di Jalan Pejabat Pos, Batu Gajah pada jam 4.30 petang, 26 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Yung Cheng didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu seorang lelaki dengan menyerahkan seutas rantai leher seberat 19.55 gram yang bukan emas tulen bagi mendapatkan wang pajakan berjumlah RM8,500.

Penganggur itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah kedai pajak di Persiaran Desa Tronoh Indah, dalam daerah Batu Gajah pada jam 11.52 pagi, 24 Ogos 2026.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Nishaalini manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin.

Nazratul Natrah membenarkan Vui Yen diikat jamin sebanyak RM4,000 manakala Yung Cheng pula RM5,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri di balai polis berhampiran sekali pada setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 12 Oktober depan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kantoi guna setem cukai palsu, Kastam sita arak, bir lebih RM313,000

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI