Dua rakan terima penghargaan selamatkan enam sekeluarga daripada lemas

PARIT – Dua rakan nekad terjun parit bagi menyelamatkan enam sekeluarga dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Selama -Bagan Serai dekat Bagan Serai pada 24 Ogos lalu menerima penghargaan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.

Mohd Azwan Basirun, 38, bersama rakannya, Qairulizwan Zulkefly Amin, 31, berjaya menyelamatkan keluarga terbabit termasuk empat kanak-kanak daripada lemas di dalam parit di kawasan tersebut.

Menceritakan semula detik kejadian itu, Mohd Azwan berkata, dia bersama Qairulizwan dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk menyelenggara motosikal.

Menurutnya, ketika melalui lokasi kejadian, dia melihat sebatang tiang elektrik terjatuh di tengah jalan dan mendengar suara kanak-kanak menangis di kawasan parit berhampiran.

“Sewaktu dalam perjalanan saya lihat ada tiang eletrik terjatuh di tengah jalan kemudian saya dengan suara budak menangis. Jadi, saya berpatah balik ke ke kawasan itu dan melihat kereta terjatuh dalam parit dan penuh dengan budak-budak.

“Masa itu saya tidak berfikir apa-apa, saya terus terjun untuk selamatkan budak-budak terbabit. Saya juga mempunyai dua anak berusia lapan dan 12 tahun sebab itu saya nekad untuk selamatkan mereka,” katanya.

Dua rakan terima penghargaan selamatkan enam sekeluarga daripada lemas
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon (dua, kiri) menyampaikan sijil penghargaan ketika hadir pada Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Perak di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 10 SEPTEMBER 2024.

Dia berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan September 2024 JBPM Perak di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Azwan juga tidak menyangka video kejadian tersebut tular di media sosial sehingga mendapat perhatian masyarakat.

“Kami langsung tak jangka video kami menyelamatkan mereka tular. Sampai ada yang tag video kami di media sosial. Memang tak sangka jadi macam ini.

“Sebelum ini, saya pernah menyelamatkan orang lemas beberapa kali tetapi kejadian tersebut menjadi tular sehingga pertama kali mendapat penghargaan dari bomba,” ujarnya yang masih berhubung dengan keluarga tersebut.

Kedua-dua rakan terbabit menerima sijil penghargaan Hero Bomba yang disampaikan Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon di atas keberanian mereka menyelamatkan keluarga terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan kereta yang dinaiki enam sekeluarga termasuk empat kanak-kanak cuba mengelak sekumpulan monyet terbabas dan melanggar sebatang tiang elektrik sebelum terjatuh dalam parit di sebelah kanan jalan di Kilometer 15, Jalan Selama -Bagan Serai. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Elak monyet punca kereta dinaiki enam sekeluarga masuk parit

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI