IPOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan reman seorang pemilik syarikat dan seorang ejen bagi membantu siasatan berhubung kes pengemukaan dokumen palsu dalam urusan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 21 September ini dikeluarkan Majistret Evangelin Simon Silvaraj ke atas kedua-dua lelaki terbabit selepas permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh, pagi tadi.
Kedua-dua lelaki berusia antara 30 hingga 40-an itu tiba di mahkamah kira-kira jam 10 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.
Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai bersubahat mengemukakan dokumen perakuan dan maklumat palsu bagi membolehkan proses pendaftaran serta pertukaran hak milik nombor kenderaan dilakukan secara tidak sah.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang meliputi kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu dengan niat memperdayakan prinsipal. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


