IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengorak langkah ke hadapan apabila Program Ekonomi Donat yang dilaksanakan memperoleh pengiktirafan daripada Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat).
Berdasarkan surat yang ditandatangani Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Anaclaudia Rossbach, program berkenaan akan menerima Anugerah Tinjauan Kehormat UN-Habitat 2024 dalam ‘Beyond the 2030 Agenda’ di Queretaro, Mexico, Oktober depan.
Kenyataan dalam surat berkenaan memaklumkan, Ekonomi Donat Ipoh dipilih sebagai penerima atas usaha MBI mengubah Ipoh kepada bandar yang memberi tumpuan kepada kesihatan, alam sekitar, dan pembangunan mampan.
Dalam satu kenyataan berasingan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kepentingan pencapaian itu bukan sahaja terletak kepada anugerah semata-mata sebaliknya ia terletak pada komitmen bersama menjadikan Ipoh sebagai bandar mampan.
Kata beliau, penerapan model Ekonomi Donut mencerminkan impak yang kuat di samping mengintegrasikan dimensi ekonomi, sosial, dan alam sekitar bagi mencapai pembangunan seimbang.
“Usaha ini menjadi bukti bagaimana bandar-bandar, apabila dibimbing oleh rangka kerja inovatif, boleh berkembang dalam batas ekologi sambil meningkatkan kesejahteraan komuniti.
“Kami berhasrat untuk terus berusaha dalam menyelaraskan pembangunan dengan had ekologi sambil memperkukuhkan asas sosial komuniti Ipoh.
“Kami komited untuk memajukan usaha ini dalam memanfaatkan prinsip Ekonomi Donat, untuk mencipta masa depan yang lebih hijau dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Dilancarkan pada Mac tahun lalu melalui geran daripada Yayasan Hasanah, Program Ekonomi Donut Ipoh dijalankan dengan kerjasama antara Pusat Kesihatan Planetary Sunway Universiti (SCPH), Institut Darul Ridzuan (IDR), People of Remarkable Talent (PORT), dan MBI.
Tambah Rumaizi, pihaknya turut menghargai sokongan dan sumbangan berterusan terhadap usaha itu daripada Kerajaan Negeri Perak dan Persekutuan.
“Selaras dengan matlamat Flagship 15 dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, MBI komited untuk memperkukuhkan kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi membina Ipoh yang berdaya tahan, sihat, dan mampan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ada lubang benam sekitar bandar raya Ipoh, MBI laksana kerja utiliti