TAIPING – Empat remaja lelaki yang terkandas ketika menuruni Bukit Larut di sini akibat hujan berjaya diselamatkan oleh anggota bomba petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu sekitar jam 5.07 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping bergegas ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira lima minit kemudian.
“Siasatan mendapati kesemua mangsa berusia 17 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun berada dalam keadaan keletihan ketika cuba turun dari bukit selepas hujan melanda kawasan tersebut.
“Ketua operasi kemudian mengadakan perbincangan bersama Renjer Hutan bagi menjalankan operasi mencari sebelum kesemua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak pengurusan Bukit Larut turut menyediakan sebuah kenderaan pacuan empat roda bagi membantu membawa kesemua mangsa turun ke kaki bukit.
“Anggota bomba turut membuat pemeriksaan serta pemantauan di sekitar lokasi sebelum menyerahkan kesemua mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat jam 7.05 malam ini,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


