Empat rumah kedai, dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Taiping

TAIPING – Empat buah rumah kedai dua tingkat serta dua buah kenderaan musnah dalam kebakaran di Jalan Simpang Halt, di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.48 pagi.

Menurutnya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping tiba di lokasi pada jam 2 pagi, kira-kira 10 kilometer dari balai berkenaan.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah kedai dua tingkat dianggarkan 70 peratus musnah.

“Kebakaran itu telah merebak ke sebuah lagi rumah kedai menyebabkan keseluruhan empat premis tersebut musnah 80 peratus.

“Turut terbakar ialah sebuah kereta dan sebuah lori pikap yang masing-masing musnah kira-kira 90 peratus.

“Kebakaran itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata, ketua operasi membuat penilaian di lokasi dan mengaplikasikan konsep RECEO sebelum mengarahkan anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap bagi menjalankan operasi pemadaman.

Katanya, operasi menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera BBP Taiping, dua aliran hos dari jentera BBP Bagan Serai serta dua aliran hos dari jentera BBP Kamunting.

“Bekalan air diperoleh daripada tangki jentera manakala kerja pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Sepetang dan PBS Bagan Serai.

“Operasi yang membabitkan 30 anggota bomba dan 11 anggota PBS, selain turut mendapat bantuan empat anggota polis itu tamat sepenuhnya jam 4.37 pagi,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak catat 700 kes kebakaran terbuka bagi tempoh Januari hingga Mac

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI