BATU GAJAH – Taman Inspirasi Alam Semula Jadi ESCAPE Ipoh yang akan dibuka sepenuhnya kepada pengunjung April ini dijamin tidak akan menjadi projek gajah putih seperti di taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di Meru Raya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ESCAPE Ipoh tidak menggunakan dana kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebaliknya melalui inisiatif kewangan swasta (PFI).
“Jadi, tidak adil jika kita hendak bandingkannya dengan MAPS kerana Escape Ipoh dilaksanakan menggunakan PFI,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Taman Inspirasi Alam Semulajadi ESCAPE Ipoh di Tanjung Tualang dekat sini pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Anuar Zainal Abidin.
Dalam pada itu, Saarani menjelaskan terdapat 300 lokasi yang menggunakan jenama ESCAPE di seluruh dunia.
“Terdapat 300 lokasi (ESCAPE) di seluruh dunia dan ia diyakini. Justeru, kita meletakkan keyakinan tinggi untuk merancakkan pembangunan pelancongan dalam negeri Perak,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: