SUNGAI SIPUT – Kerajaan Negeri Perak menegaskan sektor pertanian tidak akan dipinggirkan meskipun negeri itu kini giat melangkah ke arah pembangunan berasaskan industri melalui pelaksanaan pelbagai projek mega.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha memperkukuh bidang pertanian dan perindustrian akan digerakkan secara serentak kerana kedua-duanya saling melengkapi serta mampu melonjakkan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, sektor pertanian di Perak mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi, bukan sahaja bagi permintaan tempatan, malah berupaya menjadi pembekal keperluan negara.
“Tidak bermakna apabila kita mula membangunkan negeri dalam bidang perindustrian, usaha dalam bidang pertanian akan dikurangkan. Kedua-dua perkara ini berbeza tetapi saling berkaitan.
“Kita bangunkan negeri sebagai negeri industri kerana mahu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Apabila lebih ramai mempunyai pendapatan tetap, mereka ada kemampuan untuk berbelanja, dan sebahagiannya sudah tentu dibelanjakan bagi produk-produk pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Tambah Saarani, keseimbangan antara pembangunan industri dan pertanian merupakan strategi penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
Mengulas mengenai penganjuran Perak Agrofest 2025, beliau menyifatkan edisi kali ini sebagai yang terbaik selepas menerima sambutan luar biasa daripada orang ramai sepanjang tiga hari berlangsung sejak Jumaat lalu.
“Sehingga tengah hari tadi, penganjur memaklumkan jumlah pengunjung telah mencecah 250,000 orang dan dijangka mencapai sasaran 400,000 menjelang acara kemuncak pada malam penutup.
“Setakat ini, Perak Agrofest 2025 turut merekodkan nilai jualan sebanyak RM2.5 juta dan saya percaya dengan adanya jualan sehingga malam ini, termasuk Jualan Rahmah, angka itu akan terus meningkat,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak Agrofest 2025 sasar nilai jualan RM1.6 juta pertanian, makanan