IPOH – Golongan Generasi Z (Gen Z) perlu membudayakan pengurusan kewangan secara bijak dan berdisiplin bagi membina kestabilan kewangan, termasuk merealisasikan impian memiliki rumah pada usia muda.
Pengarah Program Gen Z Duit Smart@Belia Merdeka Hutang, Noor Ain Anuar berkata, kesedaran mengurus pendapatan mengikut kemampuan sebenar penting bagi mengelakkan golongan muda terjebak dengan gaya hidup yang melebihi kemampuan kewangan mereka.
Menurutnya, kecenderungan mengikuti trend semasa tanpa mengambil kira pendapatan boleh menyebabkan golongan muda mengutamakan kehendak berbanding keperluan, sekali gus menjejaskan keupayaan mereka untuk menyimpan.
“Sebagai contoh, ada yang bergaji kecil tetapi mahu memiliki telefon pintar mahal. Ini menunjukkan perbelanjaan dan kehendak mereka tidak selari dengan pendapatan.
“Justeru, golongan muda perlu belajar mengurus kewangan dengan bijak, termasuk membina tabiat menyimpan sebagai persediaan untuk masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Gen Z Duit Smart @ Belia Merdeka Hutang di Dewan Seri Tanjung, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, di sini.
Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Ir. Lokman Abd Rahim.
Program berkenaan menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 250 peserta, khususnya pelajar tahun akhir IPG yang bakal melangkah ke alam pekerjaan.
Noor Ain berkata, seramai 250 pelajar tahun akhir IPG yang bakal melangkah ke alam pekerjaan telah menyertai program berkenaan dengan diberi penekanan terhadap kepentingan perancangan kewangan sebagai langkah membina kesedaran dalam kalangan belia mengenai kemampuan memiliki rumah pada usia muda.
Katanya, sebahagian golongan muda beranggapan pemilikan rumah sukar dicapai sehingga lebih selesa memilih untuk menyewa, sedangkan perancangan kewangan yang teratur boleh membantu mereka merealisasikan matlamat berkenaan.
“Anak muda perlu mempunyai kesedaran bahawa mereka juga berpeluang memiliki rumah pada usia muda, asalkan bijak menguruskan kewangan dan membuat persediaan dari awal.
“Perkara ini juga selaras dengan inisiatif kerajaan negeri yang mahu meningkatkan kesedaran golongan muda terhadap pemilikan rumah,” katanya.
Mengulas kemungkinan penganjuran program seumpamanya di institusi pengajian tinggi (IPT) lain, Noor Ain berkata, pihaknya berharap kerjasama dengan Dewan Belia Perak dan LPHP dapat diteruskan sekiranya diberi peluang pada masa akan datang.
Beliau berkata, penganjuran di IPG Kampus Ipoh itu merupakan program pertama seumpamanya dilaksanakan oleh Dewan Belia menerusi jawatankuasa berkaitan perumahan.
Tambahnya, usaha memperluas pendidikan kewangan kepada golongan muda penting bagi membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab dalam mengurus pendapatan, membuat keputusan kewangan dan merancang masa depan. -MG Perak


