IPOH – Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Manap’ yang dipercayai terlibat dalam siri kes kecurian motosikal dan pecah rumah di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisiten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, hasil siasatan yang dijalankan pada 11 hingga 18 Ogos lalu, enam suspek berusia 27 hingga 66 tahun telah ditahan.
“Pihak polis turut merampas 20 rangka motosikal dan lapan guni yang mengandungi pelbagai komponen kenderaan tersebut.
“Hasil siasatan, kumpulan ini telah berjaya dikaitkan dengan 14 kes kecurian motosikal dan satu kes pecah rumah, menjadikan keseluruhan 15 kes berjaya diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Muhammad Najib, kesemua 15 kes berkenaan telah dituduh di mahkamah pada Isnin dengan beberapa suspek dijatuhi hukuman penjara antara 10 hingga 15 bulan.
Katanya, sebahagian lagi suspek dibenarkan diikat jamin antara RM3,000 hingga RM5,000 sementara menunggu sebutan lanjut kes.
“Kes berkenaan melibatkan pertuduhan mengikut Seksyen 411, 414, 457 dan 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Kejayaan ini menunjukkan komitmen berterusan pdrm dalam membanteras kegiatan kecurian motosikal serta menyelesaikan kes berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan secara berperingkat,” katanya. -MG Perak


